KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima akan diadakan pada 9 hingga 13 November ini bermula 9.00 pagi hingga 6.30 petang.
Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, sebelum ini persidangan tersebut dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 18 November ini namun terpaksa diubah ekoran pandemik Covid-19.
“Saya ingin memaklumkan bahawa, saya menerima arahan daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk mengubah tarikh persidangan yang akan datang dari 9 hingga 18 November ke tarikh baharu pada 9 hingga 13 November (Isnin hingga Jumaat),” katanya pada sidang media di DUN Sarawak, semalam.
Tambahnya, kes Covid-19 di Sarawak terus meningkat dan tidak menunjukkan tanda penurunan sehingga memaksa DUN mengurangkan hari bersidang menjadi lima hari.
“Saya turut akur dengan arahan daripada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media baru-baru ini dengan tegas menyatakan bahawa sesi Parlimen yang panjang menimbulkan risiko jangkitan virus Covid-19 yang lebih tinggi.
“Bersama dengan nasihat ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mematuhi garis panduan ini secara keseluruhan dan turut memikirkan kesihatan Anggota Yang Berhormat, Anggota Kabinet, Anggota Birokrasi dan semua pihak yang terlibat dalam persidangan DUN,” jelasnya.
Katanya, Anggota Yang Berhormat, Anggota Kabinet dan semua pihak yang memasuki dewan persidangan termasuk Speaker Dewan akan mengambil ujian swab.
“Semua ini mesti selesai pada 6 dan 7 November ini sebelum persidangan berlangsung,” ujarnya.
Pada masa sama, bangunan DUN Sarawak akan disanitasi pada 8 November yakni sebelum persidangan berlangsung dan pada 14 November (selepas persidangan).
Dalam pada itu, penjarakan fizikaldipatuhi dengan ketat ketika berada dalam dewan dan menjaga protokol susunan tempat duduk.
“Belanjawan Negeri 2021 akan dibentangkan pada hari pertama persidangan (9 November) dan akan didebatkan pada 11 November ini,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN