
PETRA JAYA: Belanjawan Sarawak 2026 terus memperkukuh agenda transformasi pertanian negeri apabila sektor itu menerima peruntukan RM326 juta, peningkatan sebanyak RM145 juta atau 80.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata peruntukan tersebut membuktikan komitmen tinggi kerajaan dalam mempercepat pemodenan pertanian melalui penggunaan teknologi digital, penglibatan sektor swasta dan pembangunan rantaian bekalan yang lebih kukuh.
“Belanjawan 2026 yang dibentangkan Premier Sarawak semalam jelas mencerminkan kepimpinan berwawasan beliau dalam membawa Sarawak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kemakmuran inklusif dan kelestarian jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Menurutnya, belanjawan tersebut turut mengekalkan pemacuan pembangunan apabila kerajaan memperuntukkan RM7.3 bilion, iaitu 56.6 peratus daripada keseluruhan belanjawan, bagi melaksanakan projek-projek pembangunan negeri.
“Fokus yang diberikan terhadap pembangunan membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan sektor pertanian terus menjadi penyumbang strategik kepada ekonomi negeri. Suntikan tambahan untuk 2026 membolehkan kementerian memperluas program transformasi pertanian, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh jaminan makanan,” jelasnya.
Menurut beliau, keupayaan pertanian Sarawak untuk melonjak ke tahap seterusnya memerlukan adaptasi teknologi moden, pembangunan bakat tempatan serta kerjasama erat bersama pihak industri.
“Kita mahu pertanian Sarawak bukan sekadar pengeluaran berskala kecil, tetapi sektor moden dan berdaya saing melalui automasi, penggunaan data serta inovasi rantaian bekalan yang lengkap,” katanya.
Beliau berkata kementeriannya komited memastikan setiap program dan perbelanjaan dilaksanakan secara berkesan bagi memberi impak langsung kepada peladang, usahawan tani dan komuniti luar bandar.
“Dengan sokongan berterusan kerajaan, kita yakin sasaran pertanian moden dapat dicapai dan Sarawak berada di landasan kukuh untuk mencapai visi ekonomi berpendapatan tinggi,” tambahnya.
Oleh Shikin Mahmud