Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • DUN: Bangun hospital Lundu baharu guna wang negeri dahulu – Azizul
  • WILAYAH

DUN: Bangun hospital Lundu baharu guna wang negeri dahulu – Azizul

Utusan Sarawak 6 months ago

Azizul Annuar Adenan ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (2024) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Pembinaan Hospital Lundu yang baharu diharap dapat dibangun menggunakan peruntukan pendahuluan dari kerajaan Sarawak seperti Pusat Kanser.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata pembinaan hospital itu satu keperluan mendesak memandangkan Hospital Lundu sering mengalami masalah kepadatan dan peralatan lama yang tidak dapat digunakan lagi selain kekurangan fasiliti.

”Saya dan  ADUN Opar (Billy Sujang) sama-sama dan berharap agar kerajaan Sarawak dan persekutuan dapat mempertimbangkan untuk membina Hospital Lundu di satu tapak yang sudah dikenal pasti, untuk mencari peruntukan serta memulakan pembinaan.

”Saya berharap agar konsep pusat kanser yang dibangunkan dengan peruntukan pendahuluan dari kerajaan negeri dapat diguna pakai dengan cara yang sama.

”Saya percaya dengan ada hospital ini akan memberi kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk di Daerah Lundu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (2024) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Julai lalu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata kerajaan Sarawak akan berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi mempertimbangkan cadangan Hospital Lundu untuk dipindahkan ke kawasan baharu yang dilengkapi kemudahan lebih baik.

Abang Johari berkata beliau akan berunding dengan persekutuan dalam perkara berkenaan menerusi pendekatan yang menggunakan dana kerajaan negeri dahulu, kemudian persekutuan membayar balik kepada negeri.

Azizul juga menyarankan agar kerajaan Sarawak merangka Pelan Struktur dan Pelancongan bagi Daerah Lundu yang baharu bagi merealisasikan hasrat membangunkan kawasan itu secara mampan.

Katanya, pelan sedia ada telah dibangunkan lima tahun lalu bagi tempoh 2014 hingga 2018.

”Justeru, saya berharap kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU), dapat merangka Pelan Struktur dan Pelancongan Daerah Lundu yang baharu.

“Pelan ini perlu disiapkan agar kita dapat merancang projek dan tapak-tapak dengan lebih baik serta membangunkannya secara mampan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menzahirkan harapan agar kerajaan Sarawak membuat perancangan untuk tanah perkuburan berpusat di kawasan Daerah Lundu bagi ketiga-tiga zon iaitu Sampadi, Lundu dan Sematan.

”Buat masa ini, sebagai contoh terdapat dua tanah perkuburan Islam di Lundu iaitu Mungguk Along di Kampung Seketi dan Tanah Perkuburan Stunggang berdekatan Lebuh Raya Pan Borneo yang semakin lama semakin padat.

”Begitu juga, tanah perkuburan di Zon Sampadi yang memerlukan kita untuk merentasi tanah persendirian orang lain untuk tiba ke tanah perkuburan kampung yang semakin lama semakin terhakis disebabkan lokasinya yang terletak di tepi sungai.

”Saya berharap pihak kerajaan terutama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Jabatan Tanah dan Survei untuk melihat jika ada kawasan atau tanah yang boleh dibangunkan dan bekerjasama dengan LAKIL untuk membangunkan kawasan tanah perkuburan berpusat bagi ketiga-tiga zon ini,” katanya.

Oleh RYNNA SHA’ERRA

Continue Reading

Previous: DUN: Kompleks pentadbiran kerajaan di Daro mula dibina akhir 2025
Next: Pertimbang cadangan tutup laluan pintasan di Jalan Lada

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.