
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak sedang meneliti langkah memulihara Balai Polis Lama Siniawan yang berusia hampir satu abad, sekali gus membuka ruang agar bangunan bersejarah itu diangkat sebagai salah satu tarikan pelancongan utama di kawasan tersebut.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata kementerian menyedari nilai sejarah bangunan yang dibina sebelum pembentukan Malaysia itu, dan melihat potensinya untuk dikembangkan semula bagi manfaat masyarakat setempat.
“Kementerian melalui kerjasama dengan agensi berkaitan sedang mengkaji kaedah terbaik untuk memulihara dan memelihara bangunan tersebut serta meneroka potensinya sebagai tarikan pelancongan. Buat masa ini, cadangan itu masih dalam proses perbincangan dan penilaian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Snowdan turut memberi jaminan bahawa kementerian melalui Jabatan Muzium Sarawak komited mengenal pasti bangunan lama yang memenuhi kriteria sejarah untuk diwartakan di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019, termasuk Balai Polis Lama Siniawan.
Menurut beliau, pewartaan hanya boleh dipertimbangkan bagi bangunan yang dibina sebelum 1940 serta mempunyai nilai sejarah signifikan, dan proses tersebut memerlukan penilaian terperinci bersama pelbagai pemegang taruh.
Dalam pada itu, Snowdan berkata kementerian terus memperkukuh promosi Pekan Siniawan sebagai destinasi pelancongan unik di Sarawak, khususnya melalui acara berskala komuniti dan warisan budaya.
“Kementerian menyokong penganjuran acara seperti Festival Muzik Country Siniawan, termasuk menyenaraikan festival tersebut dalam Kalendar Pelancongan Sarawak serta menyediakan geran sokongan kepada penganjur,” jelasnya.
Beliau berkata kerjasama dengan Tourism Malaysia turut menghasilkan pakej pelancongan berteraskan Sarawak Delta Geopark (SDGp) yang merangkumi Pekan Siniawan, dengan gabungan pengalaman warisan budaya dan lawatan geotapak berhampiran seperti Tasik Biru, Paku Rock Maze dan Gua Angin.
Snowdan menegaskan bahawa usaha bersepadu ini penting untuk memastikan Pekan Siniawan terus berkembang sebagai destinasi yang mempunyai nilai sejarah, budaya dan ekopelancongan tersendiri.
Oleh Adele Rissa