KUCHING: Kerajaan Sarawak disyorkan untuk mengkomersialkan penanaman daun ketum ayam atau daun ‘mandre de agua’ sebagai tanaman makanan alternatif haiwan ternakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata cadangan itu dikemukakan berikutan gangguan bekalan dan kenaikan harga makanan untuk industri penternakan haiwan semasa pandemik Covid-19.
“Menurut Pengasas Changloon Agro Farm di Changlun, Kedah, Azuwan Azlan penanaman tumbuhan itu amat mudah dan boleh dimakan semua haiwan ternakan.
“Ia tidak memberi kesan negatif kepada haiwan ternakan malah ternakan bertambah sihat dan kualiti daging hampir menyamai kualiti organik.
“Pada masa sama, pembekalan tumbuhan ini disambut baik seluruh negara termasuk permintaan penternak di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Belanjawan Negeri 2023 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Dayang Noorazah berkata, sekiranya tumbuhan tersebut dapat dikomersialkan di Sarawak, maka secara langsung ia dapat membantu pertumbuhan ekonomi dalam industri tanaman dan penternakan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA