
PETRA JAYA: Mahkamah Bumiputera Sarawak mencatat prestasi kukuh apabila berjaya menyelesaikan 13,763 kes atau 75 peratus daripada 18,233 kes yang direkodkan sejak 1992 sehingga Oktober tahun ini, sekali gus menunjukkan keberkesanan institusi itu dalam menangani pertikaian berkaitan adat dan komuniti luar bandar.
Menteri di Jabatan Premier, Dato Sri John Sikie, berkata peningkatan jumlah kes rumit yang dibawa ke Mahkamah Bumiputera memerlukan pegawai mahkamah yang bukan sahaja memahami Adat tetapi juga mempunyai asas undang-undang.
Katanya, kerajaan kini sedang melantik individu berlatar belakang perundangan, termasuk pemegang Sijil Amalan Guaman (CLP), untuk berkhidmat sebagai Majistret Mahkamah Bumiputera.
“Kita mahu mahkamah yang lebih mantap, lebih profesional dan mampu menangani kes yang semakin kompleks.
“Kefahaman adat sahaja tidak mencukupi tanpa pemahaman undang-undang formal,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Jabatan Premier Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, hari ini.
Tambah John Sikie, usaha itu juga penting untuk mengatasi kekurangan pegawai serta memastikan tiada kelewatan ketara dalam pendengaran dan penyelesaian kes pada masa depan.
Katanya, pendekatan baharu ini akan menjadi asas kepada transformasi yang akan dilaksanakan sepenuhnya selepas Rang Undang-undang Mahkamah Bumiputera baharu diluluskan kelak.
“Mahkamah Bumiputera turut melaksanakan pelbagai program pembangunan kapasiti, termasuk latihan untuk pegawai pentadbiran, kerani mahkamah, peon serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
“Sepanjang tahun ini, lima program latihan melibatkan 309 peserta dilaksana dengan kos RM250,000.
“Latihan ini memastikan kes dapat diurus secara lebih teratur, aplikasi undang-undang adat lebih konsisten dan rekod mahkamah lebih tepat,” ujar beliau.
Menurut beliau, bagi mengukuhkan lagi operasi di lapangan, empat sesi libat urus daerah dilaksana di Siburan, Serian, Kapit dan Marudi untuk membimbing kerani baharu serta menyelesaikan kes tertunggak secara lebih pantas.
“Langkah itu terbukti berkesan apabila banyak isu pentadbiran dapat diselesaikan melalui sesi penerangan di lapangan,”katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut merancang menstandardkan reka bentuk dan kelengkapan bilik Mahkamah Bumiputera dalam semua bangunan pejabat daerah baharu.
Kata John Sikie, setiap bilik mahkamah juga akan dilengkapi motif etnik tempatan serta kemudahan digital seperti dokumentasi elektronik dan prosiding maya.
“Identiti budaya mesti wujud dalam mahkamah kita, tetapi dalam masa sama ia perlu moden, teratur dan mampu menyokong penggunaan teknologi,” jelas beliau.
Oleh Shahrul Qaizat