KUCHING: Sebanyak 285 menara telekomunikasi dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku kedua tahun depan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang berkata, setakat ini sebanyak 3, 471 menara dan struktur telekomunikasi sedia ada di Sarawak.
“Daripada jumlah itu, 3, 186 menara sudah beroperasi, selebihnya (285 menara) dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku kedua 2023.
“Dianggarkan sebanyak 7,000 menara dan struktur telekomunikasi diperlukan untuk memastikan liputan penuh telekomunikasi di seluruh Sarawak termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohamad Duri (GPS-Kalaka) dalam sesi pertanyaan bagi jawapan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Liwan berkata, kerajaan Sarawak menerusi projek Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) Fasa 1 dan Fasa 2 dibawah program Menghubungkan Bandar dan Luar Bandar Sarawak (SALURAN) telah memperuntukan 600 menara yang didirikan di kawasan luar bandar.
“SMART Fasa 1 dijangka akan beroperasi pada suku kedua 2023 manakal SMART Fasa 2 dijangka beroperasi menjelang penghujung 2023,” katanya.
Selain itu, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukan 742 menara baharu di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang telah bermula pada awal tahun ini.
“Setakat ini, 40 menara telah beroperasi, manakala kerja pembinaan sivil di 68 lokasi menara telah berjaya disiapkan dan kini memasuki peringkat pemasangan peralatan pemancar dan sambungan elektrik. Keseluruhan 742 menara baharu di bawah inisiatif JENDELA dijadual beroperasi secara berperingkat sehingga suku keempat 2023,” katanya.
Mengenai bilangan menara telekomunikasi baharu yang akan dibina di DUN Kalaka, Liwan berkata, terdapat sebuah menara telekomunikasi siap dibina di Sungai Engkabang, Roban dan dijangka beroperasi pada suku pertama 2023, manakala enam menara telekomunikasi baharu akan dibina dan dijadual beroperasi pada suku keempat 2023.
“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat adil. Setiap kawasan akan dibahagikan dengan menara telekomunikasi secukupnya,” katanya.
Antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan ialah menaiktaraf 18 stesen pemancar dan pada perkhidmatan 3G ke 4G.
“Peluasan liputan gentian optik melalui 450 premis yang telah siap pada suku pertama 2022. Di Kalaka, bagi Taman Seroja, menara tersebut kini dalam peringkat pemasangan peralatan pemancar dan dijangka beroperasi selewat-lewatnya penghujung Januari 2023.
“Taman Malong pula, peralatan komunikasi dijangka dihantar pada pertengahan Januari 2023 dan beroperasi penghujung Februari 2023,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN