Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: 54% doktor ditugaskan tidak lapor diri, Sarawak mahu tubuh fakulti perubatan sendiri
  • SEMASA

DUN: 54% doktor ditugaskan tidak lapor diri, Sarawak mahu tubuh fakulti perubatan sendiri

Utusan Sarawak 5 hours ago
Datuk Dr. Annuar Rapaee ketika bercakap kepada pemberita di luar sidang DUN hari ini.

PETRA JAYA: Lebih separuh atau 54 peratus doktor yang ditempatkan bertugas ke Sarawak tahun ini tidak hadir melapor diri, sekali gus memburukkan lagi situasi kekurangan tenaga kesihatan di negeri ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee, berkata situasi itu timbul bukan sahaja kerana bilangan pelajar Sarawak yang diterima mengikuti pengajian perubatan terhad, malah juga kerana ramai doktor dari luar enggan berkhidmat di Sarawak.

“Mereka tak mahu datang ke Sarawak, dan saya yakin mereka bukan anak Sarawak,” katanya ketika ditemui media selepas sesi soal-jawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah sebenar yang merangkumi 54 peratus itu.

Berikutan itu kata Dr. Annuar kerajaan Sarawak komited menubuhkan fakulti perubatan di universiti miliknya sendiri sebagai langkah strategik melahirkan lebih ramai doktor tempatan yang berkhidmat di negeri ini.

“Harapan kita, dengan ada sekolah perubatan kita sendiri, anak Sarawak akan belajar di sini dan kemudian berkhidmat untuk rakyat Sarawak.

“Kerajaan telah mewakilkan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) untuk mengetuai kajian kebolehlaksanaan selama enam bulan bagi penubuhan fakulti ini, selaras dengan keperluan permohonan lesen penubuhan sekolah perubatan.

“UTS sudah kenal pasti lima orang pakar untuk mengkaji kemungkinan penubuhan sekolah perubatan ini. 

“Jika dilantik Disember ini, kajian dijangka bermula Januari dan laporan akhir akan dihantar pada Jun tahun depan,” jelasnya.

Beliau berkata penubuhan sekolah perubatan ini bukan lagi persoalan ‘perlu atau tidak’, tetapi ‘bagaimana dan bila’, kerana Sarawak tidak boleh terus bergantung kepada institusi di bawah kawalan persekutuan seperti Unimas.

“Unimas di bawah kawalan Kerajaan Persekutuan dan pengambilan pelajar melalui Unit Pusat Universiti (UPU). Persaingan sangat ketat, sehingga ada pelajar cemerlang pun tidak dapat tempat dalam pengajian perubatan,” 

“Kajian tersebut bakal dibentangkan kepada kerajaan negeri, sebelum keputusan muktamad dibuat. 

“Proses permohonan akan melalui tiga pihak berkuasa iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” tambahnya.

Beliau bagaimanapun mengakui cabaran utama melibatkan aspek kewangan, kelestarian dan keperluan tenaga pakar klinikal.

“Kewangan saya yakin kita boleh tangani, tetapi kita perlukan ramai doktor pakar untuk menjadi tenaga pengajar.

“Penubuhan sekolah perubatan milik Sarawak adalah langkah penting bagi mengurangkan masalah kritikal kekurangan doktor dan jururawat, serta memastikan lebih ramai tenaga kesihatan tempatan bersedia berkhidmat di negeri ini,” katanya.

Oleh MASRIN AFFIRAH

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Sarawak sedia rangka kerja kukuh pacu penggunaan EV menjelang 2026
Next: DUN: Projek kritikal Daro perlu dipercepat demi kesejahteraan rakyat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.