
PETRA JAYA: Sebanyak 44 kes buli direkodkan di Sarawak dari Januari hingga Oktober 2025, menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekali gus mencetuskan keperluan mendesak memperkukuh intervensi awal dalam kalangan pelajar bagi mengekang peningkatan tingkah laku berisiko.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus, kerajaan terus memberi fokus kepada langkah intervensi berstruktur yang merangkumi mekanisme pelaporan, pendidikan awal dan kolaborasi antara agensi, khususnya dalam menangani pengaruh digital dan persekitaran sosial yang semakin kompleks.
“Pada tahun ini, usaha advokasi telah diperkukuh melalui Wacana Minda Isu Buli, platform yang menghimpunkan ibu bapa, guru dan pemimpin komuniti bagi membincangkan trend semasa tingkah laku remaja, termasuk pengaruh media digital.
“Selain itu, pelaksanaan Randau Pembangunan Sosial bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membantu memberi panduan kepada masyarakat mengenai isu sosial serta saluran pelaporan yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan See Chee How (Batu Lintang – GPS) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
Tambah beliau, Program Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) turut memberi maklumat tepat dan sesuai mengikut umur mengenai keselamatan diri, pencegahan kehamilan remaja dan jangkitan penyakit kelamin, sekali gus mengukuhkan sokongan psikososial terhadap pelajar.
“Pendekatan menyeluruh ini memastikan ibu bapa, pendidik dan komuniti dapat mengenal pasti tanda awal perilaku berisiko dan bertindak segera.
“Saluran pelaporan turut dipermudah melalui peti aduan sekolah, talian SISPA Adubuli, talian HEAL 15555 dan Talian Kasih 15999 untuk memudahkan aduan dibuat secara terus,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kerjasama erat antara kementerian, pihak sekolah, agensi keselamatan dan komuniti menjadi asas kepada sistem perlindungan pelajar yang lebih responsif.
“Kerajaan serius memastikan isu buli dan pengaruh digital ditangani lebih awal sebelum berkembang menjadi konflik sosial.
“Sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sarawak pada 1 hingga 2 Oktober lalu, segmen khusus seperti ceramah anti-buli dan sesi anti-vape dijalankan bagi memperkukuh kefahaman remaja mengenai tingkah laku beradab dan risiko kesihatan.
“Inisiatif ini sejajar dengan strategi pembangunan sosial di bawah PCDS 2030 yang menyasarkan pembentukan masyarakat yang inklusif, selamat dan berdaya tahan,” ujarnya.
Antara intervensi yang telah dilaksanakan termasuk 78 siri KAPS sejak 2016, 29 siri Randau Pembangunan Sosial sejak 2019 serta 1,877 siri Operasi Bersepadu Isu Dadah (OBID) sejak 2018, yang berjaya memperluas jangkauan kesedaran terhadap isu sosial dalam komuniti.
Oleh Masrin Affirah