

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah telah mengenal pasti sebanyak 4,264 hektar tanah di Bahagian Limbang yang berpotensi dibangunkan sebagai kawasan penanaman padi secara moden dan komersial.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Maclaine Ben @ Martin Ben, berkata daripada jumlah keseluruhan itu, seluas 2,734 hektar terletak di enam kawasan dalam Daerah Limbang, manakala baki 1,530 hektar melibatkan lima lokasi di Daerah Lawas.
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh sekuriti makanan melalui peningkatan pengeluaran padi tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dato Paulus Palu Gumbang (GPS – Batu Danau) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Tambahnya, pelaksanaan projek tanaman padi berskala besar ini juga dijangka memberi impak ekonomi positif kepada penduduk luar bandar melalui pewujudan peluang pekerjaan serta penjanaan pendapatan baharu.
“Usaha ini juga seiring dengan matlamat kerajaan negeri untuk melaksanakan pembangunan wilayah yang lebih inklusif dan mampan,” ujarnya.
Oleh Amanda L. & Masrin Affirah