KUCHING: Sebanyak 220 daripada 298 projek di bawah program Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak telah berjaya disiapkan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, pelaksanaan program ini menggunakan dana alternatif yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak berjumlah RM4 bilion bagi melaksanakan 298 projek bekalan air tersebut.
Katanya, Program tersebut merangkumi pelaksanaan beberapa projek yang dikenal pasti di bawah Program Grid Bekalan Air Sarawak, Program Bekalan Air Alternatif Sarawak(SAWAS), pengurusan Kadar Air Tidak Terhasil(NRW), Pendigitalan Sistem Bekalan Air dan kerja-kerja penambah baikan sistem bekalan air sedia ada.
“Sebanyak 69 projek sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, manakala sembilan lagi projek dalam peringkat tender dan pembinaan projek tersebut akan bermula 2023.
“Dengan siapnya projek-projek ini kelak, saya yakin bekalan air di kawasan luar bandar akan dapat di tambah baik.
“Tiba masanya kita me langkah ke fasa jangka masa sederhana untuk meneruskan pelaksanaan Program Grid Bekalan Air Sarawak, SAWAS, NRW, dan Pendigitalan Sistem Bekalan Air dan semua program ini telah digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Julaihi juga menyatakan bahawa sehingga kini, sebanyak lima pakej SAWAS Fasa 1 telah siap yang bernilai RM50 juta yang memanfaatkan 594 isi rumah. Fasa 2 melibatkan pelaksanaan 22 pakej SAWAS yang bernilai RM135 juta dan 13 pakej daripadanya telah siap. SAWAS Fasa 2 ini akan memberi manfaat kepada 1,548 isi rumah.
Selain itu, Julaihi juga menerangkan bahawa sehingga Disember 2021, purata kadar NRW untuk keseluruhan Sarawak adalah 45 peratus berbanding dengan 46 peratus pada 2020.
“Kadar NRW yang masih tinggi telah memberi cabaran besar untuk mencapai pengurangan kepada 25 peratus menjelang 2030.
“Untuk menangani isu ini, Kementerian saya melalui semua agensi bekalan air telah melaksanakan program pengurusan pengurangan NRW secara holistik.
“Antara skop program tersebut adalah penggantian paip lama, penggantian meter air yang lama dan tidak berfungsi, pemantauan dan kawalan kebocoran sistem bekalan air, pelaksanaan Geographical Information System (GIS), pembentukan dan pemantauan melalui District Metering Areas (DMAs) dan pengurusan tekanan air,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT