

PETRA JAYA: Seramai 136 keluarga bakal menikmati kediaman baharu apabila projek pembangunan semula Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Pusa dimulakan menerusi pembinaan Rumah SPEKTRA Permata (RSP) jenis berkembar.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata kelulusan perancangan semula projek berkenaan telah diperoleh daripada Pihak Berkuasa Perancang Negeri (SPA) pada 20 Februari 2024.
“Pelan sekatan tanah turut diluluskan oleh Jabatan Tanah dan Survei Betong pada 13 Mac 2025, menandakan langkah awal ke arah pelaksanaan fizikal projek ini,” katanya.
Michael Tiang berkata demikian ketika menjawab soalan Razaili Gapor (GPS – Beting Maro) pada persidangan Dewan Undangan Negeri ke-19, hari ini.
Menurut beliau, Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) telah menerima peruntukan siling sebanyak RM1.5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tujuan penyediaan pelan semakan serta pelan sekatan dan subpembahagian.
“Selain itu, HDC turut mengemukakan permohonan dana sebanyak RM30 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk melaksanakan kerja-kerja pembangunan infrastruktur dan pembinaan 40 unit rumah sebagai fasa awal,” tambahnya.
Kerja pembinaan, katanya, dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya selepas tapak diserahkan kepada pihak pelaksana.
Ujarnya lagi, projek ini dilihat sebagai usaha menyediakan pilihan perumahan berkualiti kepada penduduk luar bandar, sekali gus menyumbang kepada peningkatan taraf hidup komuniti setempat.
Oleh Amanda L. & Masrin Affirah