MINGGU lalu, wacana ini membicarakan bagaimana penyerahan dilakukan oleh Raja Vyner Brooke dan pihak British. Dengan kuasa yang mereka ada, penyerahan ini berjaya dilaksanakan setelah mendapat persetujuan menerusi beberapa badan pemerintah di Sarawak.
Hal ini tidak mematikan semangat juang anak Sarawak untuk meneruskan usaha menentang penyerahan itu. Persatuan Melayu Sarawak (PMS) merupakan persatuan awal dalam mengerakkan usaha membantah ini. PMS ini pula mendapat sokongan orang Dayak dalam Persatuan Dayak Sarawak SDA.
Sokongan Brooke
Salah satu usaha peringkat antarabangsa dilakukan oleh PMS dan SDA menentang penyerahan ini adalah cuba mendapat sokongan adik Raja Vyner Brooke iaitu Betram Brooke. Ketika itu seorang peguam di England bernama William Charles Crocker menasihatkan Betram Brooke untuk memandu dan menyokong perjuang-perjuang menentang penyerahan ini bagi mengembalikan kedaulatan dan kemerdekaan Sarawak.
Crocker juga menasihati Betram Brooke berjumpa dengan kerajaan baharu di England pimpinan parti Buruh dan memaklumkan tindakan penyerahan itu sebagai satu usaha penjajahan ke atas Sarawak. Ini kerana usaha melebarkan penjajahan ini dilakukan oleh kerajaan Konservatif sebelum ini.
Namun demikian Betram Brooke tidak mempunyai keyakinan besar dalam hal menentang penyerahan ini.
Beliau merasakan tidak yakin kerajaan British akan menurut tuntutan pihak menentang penyerahan. Tindakan Betram Brooke ini sedikit sebanyak menurun semangat penentang penyerahan. Namun demikian semangat mereka kembali mekar apabila anak Betram Brooke iaitu Anthony Brooke bersetuju untuk memberi sokongan kepada pihak menentang penyerahan. PMS meneruskan usaha untuk membantah penyerahan dengan menghantar surat kepada Perdana Menteri baharu British iaitu Clement Atlee.
Datu Patinggi Abang Abdillah dan Abang Zaini menyatakan penyerahan ini tidak mendapat sokongan wakil-wakil Bumiputera dan ada pula ahli yang disogok untuk menyokong penyerahan.
Pemulauan
Sementara itu usaha pemangku Gabenor iaitu C. W. Dawson untuk berbaik-baik dengan pihak anti-penyerahan dengan melakukan lawatan di kampung-kampung Melayu setiap petang, gagal meraih simpati penduduk kampung. Menurut Datu Patinggi Abang Abdillah bahawa mereka tidak akan tunduk kepada penyerahan dan penentangan akan diteruskan.
Semangat yang kuat menentang penyerahan ini dirasai oleh Mac Bryan yang melakukan lawatan ke Sarawak pada September 1946. Atas sebab itu beliau mengumpul pemimpin-pemimpin Melayu yang menyokong penyerahan untuk memperhebatkan usaha menyokong penyerahan. Ini kerana penyerahan membawa kepada meningkatnya kesedaran berpolitik dan semangat kebangsaan dalam kalangan penduduk Sarawak.
Namun demikian usaha bantahan golongan anti-penyerahan gagal dihalang kerana mereka terus mengadakan pelbagai aktiviti membantah penyerahan. Salah satu usaha bantahan ini ialah dengan meminta penduduk kampung Melayu menampal poster bantahan di dinding rumah. Ada juga yang menampak poster ini di pokok-pokok. Tujuan menampal poster ini adalah simbol bantahan kepada pelantikan gabenor pertama Sarawak iaitu Charles Arden-Clarke yang berlangsung pada 18 Oktober 1946.
Datu Patinggi Abang Abdillah juga memulau pelantikan gabenor tersebut. Beliau juga meminta pegawai kerajaan mengambil langkah bantahan itu. Reaksi Gabenor Arden-Clarke terhadap bantahan penyerahan menyebabkan beliau mengarah pihak polis merampas dan mengoyak poster-poster anti penyerahan semasa pelantikan beliau. Pihak PMS pula bertindak menampalnya semula sebelah pagi pada hari tersebut.
Matlamat perjuangan
Berkenaan dengan matlamat perjuangan anti-penyerahan ini, menurut Mohammad Hasbie Sulaiman dalam buku beliau bahawa perjuangan ini cuba mengembalikan kerajaan Brooke. Selepas itu mereka akan menuntut pula kemerdekaan daripada kerajaan Brooke. Tuntutan kemerdekaan ini boleh dikatakan berperingkat kerana Sarawak memerlukan usaha memperkasakan penduduknya untuk menuju kemerdekaan.
Sokongan kepada penyerahan ini melebar pula ke bahagian-bahangian lain di Sarawak. Terdapat kira-kira 52 pertubuhan di Sarawak menunjukkan sokongan kepada anti penyerahan. Apa yang menarik pertubuhan-pertubuhan ini mewakili penduduk Sarawak dari Kuching hingga ke Limbang.
Anthony Brooke pula berhasrat untuk datang ke Sarawak. Beliau mahu berjuang bersama-sama dengan pihak anti-penyerahan dengan slogan Harap Selagi Bernafas (Dum Spiro Spero).
Berita tentang hasrat Anthony Brooke hendak datang ke Sarawak membawa kepada kegembiraan pihak anti penyerahan. Kegembiraan ini tidak sahaja dirasai oleh penduduk di Kuching malahan poster-poster anti penyerahan telah ditampal di Sibu dan Miri. Kumpulan menentang penyerahan ini telah bermesyuarat dan berbincang untuk mengadakan sambutan kepada kedatangan Anthony Brooke.
Sokongan ke atas anti-penyerahan ini bertambah dengan ada sokongan orang Kayan di Belaga dan orang Iban dibawah Penghulu Janting di Song serta Penghulu Hiang Nyipa di Kapit. Sokongan ke atas usaha menentang penyerahan ini berterusan apabila
‘Young Malay Association’ yang pro penyerahan kehilangan 27 ahlinya pada November 1946 yang telah menyertai pihak menentang penyerahan.
Dalam kemuncak aktifnya pihak menentang penyerahan mendapat sokongan, Datu Patinggi Abang Abdillah meninggal dunia pada 21 November 1946. Walaupun ramai yang sedih akan pemergian tokoh anti penyerahan ini tetapi gerakan melawan penyerahan diteruskan.
Sebelum itu pihak penyerahan menerima pula berita tentang larangan oleh pihak kerajaan British terhadap penyerahan.
Pihak kerajaan British melihat Anthony Brooke akan mempengaruhi rakyat Sarawak untuk merdeka. Semangat menentang penyerahan diteruskan di Sarawak dengan pelbagai aktiviti lagi. Pada 24 November 1946 pihak menentang penyerahan telah mengadakan perhimpunan di Masjid Besar, Kuching untuk mengada solat hajat. Solat hajat itu bertujuan untuk memohon agar kemerdekaan Sarawak dikembalikan. Sekatan ke atas Anthony Brooke untuk datang ke Sarawak menyebabkan PMS dan SDA menghantar surat bantahan tentang sekatan itu.
Tekanan seterusnya diterima oleh pihak menentang penyerahan adalah tindakan kerajaan mengeluarkan ‘Circular No.9’ Tindakan dilakukan oleh kerajaan ketika itu untuk melarang kakitangan kerajaan terlibat dengan aktiviti menentang penyerahan atau tidak menunjuk taat setia kepada kerajaan.
‘Circular No.9’ ini satu tekanan paling hebat diterima oleh pihak menentang penyerahan. Akibatnya seramai 338 orang kakitangan kerajaan meletak jawatan. Tindakan mereka ini merupakan pengorbanan besar dilakukan untuk menentang penyerahan.
Apa yang berlaku ini menunjukkan bahawa perjuangan mendapat kemerdekaan dan kedaulatan memerlukan satu pengorbanan besar. Cabaran daripada pihak berkuasa British memang cukup mencabar, namun semangat untuk berjiwa merdeka tidak mudah mengalah dalam hal ini. Hal ini sinonim dengan slogan ‘Harap Selagi Bernafas’.
- Dr Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.