Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Dulu raja lautan, gergasi gunung ais kini berderai
  • GLOBAL

Dulu raja lautan, gergasi gunung ais kini berderai

Utusan Sarawak 3 days ago
GUNUNG ais gergasi dikenali sebagai A23a dianggarkan seberat hampir satu trilion tan dan berkeluasan lebih dua kali ganda daripada Greater London.

PARIS: Hampir 40 tahun selepas terpisah dari benua Antartika, sebuah gunung ais kolosal yang pernah tersenarai antara yang tertua dan terbesar pernah direkodkan kini sedang hancur di perairan yang lebih panas dan dijangka lenyap sepenuhnya dalam beberapa minggu akan datang.

Awal tahun ini, gunung ais gergasi dikenali sebagai A23a dianggarkan seberat hampir satu trilion tan dan berkeluasan lebih dua kali ganda daripada Greater London — satu raksasa yang tiada tandingan pada zamannya.

Bongkah ais air tawar beku ini begitu besar sehingga pernah mengancam kawasan mencari makan penguin di sebuah pulau terpencil di Lautan Atlantik Selatan, namun akhirnya bergerak menjauhi kawasan tersebut.

Kini, saiznya tinggal kurang daripada separuh berbanding asal, namun masih meliputi kawasan seluas 1,770 kilometer persegi (683 batu persegi) dan mempunyai kelebaran sehingga 60 kilometer (37 batu) di bahagian paling luas, menurut analisis imej satelit oleh agensi pemantauan bumi Kesatuan Eropah, Copernicus, yang dilaporkan oleh AFP.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, ketulan ais besar, sesetengahnya mencecah keluasan 400 kilometer persegi telah terpisah daripada bongkah utama, manakala serpihan kecil lain, yang masih cukup besar untuk membahayakan kapal, bertaburan di sekitar perairannya.

“Ia kini sedang berpecah dengan agak dramatik ketika hanyut semakin jauh ke utara,” kata Andrew Meijers, pakar oseanografi fizikal dari British Antarctic Survey, kepada AFP.

“Saya rasa gunung ais ini berada di penghujung hayatnya… ia pada dasarnya sedang ‘mereput’ dari bawah. Air di sekitarnya terlalu panas untuk mengekalkannya. Ia sedang mencair tanpa henti,” jelasnya.

“Saya menjangkakan proses ini akan berterusan dalam minggu-minggu akan datang, dan besar kemungkinan ia tidak lagi dapat dikenalpasti tidak lama lagi.”

DITAKDIRKAN MUSNAH

Gunung ais A23a terpisah daripada papak ais Antartika pada 1986, namun tidak lama selepas itu ia terkandas di Laut Weddell, dan kekal tersekat di dasar lautan selama lebih 30 tahun.

Ia akhirnya terlepas pada 2020, dan seperti gergasi ais sebelum ini, hanyut dibawa oleh Arus Sirkumpolar Antartika yang kuat melalui kawasan yang dikenali sebagai “lorong gunung ais” menuju ke Lautan Atlantik Selatan.

Sekitar Mac, A23a sekali lagi terkandas, kali ini di perairan cetek berhampiran Pulau South Georgia yang terpencil mencetuskan kebimbangan ia mungkin mengganggu koloni besar penguin dewasa dan anjing laut daripada mencari makanan untuk anak-anak mereka.

Namun, pada akhir Mei, gunung ais itu kembali terlepas dan terus bergerak.

Setelah berpusing mengelilingi pulau tersebut dan bergerak ke arah utara, gunung ais berkenaan dilaporkan semakin laju dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kadangkala bergerak sejauh 20 kilometer sehari, menurut imej satelit yang dianalisis oleh AFP.

Kini, apabila terdedah kepada air yang semakin panas serta dihentam gelombang besar, A23a sedang mengalami proses kehancuran dengan cepat.

Para saintis menyatakan mereka ‘terkejut’ dengan ketahanan gunung ais itu selama ini, kata Andrew Meijers.

“Kebanyakan gunung ais tidak mampu bertahan sejauh ini. Gunung ais ini sangat besar sebab itulah ia mampu bertahan lebih lama dan bergerak lebih jauh berbanding yang lain,” jelasnya.

Namun akhirnya, semua gunung ais memang “ditakdirkan musnah” sebaik sahaja meninggalkan perlindungan beku di sekitar Antartika, tambah beliau lagi.

Proses pemecahan gunung ais merupakan fenomena semula jadi. Namun, para saintis berpandangan bahawa kadar kehilangan gunung ais dari Antartika kini semakin meningkat, yang berkemungkinan besar didorong oleh perubahan iklim akibat aktiviti manusia. – AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Presiden Xi Jinping kirim salam hormat kepada Agong
Next: ChatGPT akan dilengkapi ciri kawalan ibu bapa selepas insiden kematian remaja

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.