JIKA dulu menyarung jaket keselamatan menaiki perahu, kini menyarung jaket kejayaan sebagai seorang peguam.
Siapa sangka wanita yang berasal dari Kampung Kebuaw, Igan, sebuah perkampungan pedalaman di Sarawak mengejar impian ke menara gading sehingga berjaya bergelar peguam.
Kisah Jacquelyn Juliet, 25 tahun mendapat perhatian di TikTok selepas peguam muda itu berkongsi video yang dimulai dengan dirinya ketika berusia 11 tahun pulang dari sekolah ditunggu ibu di perahu, bergraduasi dan ditauliahkan sebagai peguam.
“Ya… Pengangkutan utama pergi ke sekolah ialah perahu kerana tiada kemudahan jalan raya, sehingga kini kami masih tinggal di pesisiran Batang Igan.
“Sejak saya berumur lima tahun lagi saya sudah membantu ibu bapa di kebun rumbia untuk menampung perbelanjaan.
“Walaupun waktu siang banyak menghabiskan masa di kebun rumbia, saya sama sekali tidak lupa untuk menyiapkan kerja sekolah dan menelaah pada waktu malam,”katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, baru-baru ini.
Kisahnya ini, boleh dikatakan menjadi sumber inspirasi kepada pelajar-pelajar di luar sana terutama yang tinggal di pedalaman dan kampung.
Menurutnya, setiap hari dia akan dihantar dan diambil ibu, Catherine Stin, 48, yang mengemudi perahu sendirian, sementara bapa, Suching Jugei, 58, mengambil upah bekerja di kebun rumbia milik orang.
“Sebagai anak pedalaman saya sudah biasa merentasi Sungai Rajang, meskipun tahu risiko bahaya berdepan dengan buaya.
“Ini kerana perahu satu-satunya kenderaan kami di kampung untuk ke sekolah.
“Malah saya beruntung mempunyai ibu bapa yang sangat mengutamakan pendidikan. Lagipun saya tahu hanya dengan pendidikan dapat mengubah nasib kita.”
Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, kehidupan sederhana tanpa kemewahan di kampung yang tiada kemudahan Internet yang baik, jalan raya dan air bersih mendidik dirinya untuk tekad mengejar impian sekali gus membuktikan anak pendalaman juga boleh mencapai cita-cita.
“Tiada yang mustahil, ‘Basak Budouk Basak Tenguk’ yang memberi maksud
asalkan rajin berusaha akan memperoleh hasil yang lumayan.
“Saya mahu mengubah nasib keluarga dan inginkan kehidupan yang lebih baik untuk keluarga dan diri sendiri.
“Saya merasakan bekerja di kebun rumbia merupakan pekerjaan yang sangat mencabar dan memerlukan kudrat yang banyak.
“Pernah dan selalu menangis ketika menolak rumbia kerana sangat letih dan mengenangkan betapa susahnya untuk mencari duit.
“Ibu dan bapa saya sentiasa berpesan: ‘lihatlah dan rasailah kesusahan yang kamu jalani sekarang, belajar jangan main-main, selepas tamat universiti, bapa tidak mahu melihat kamu semua masih bekerja di kebun rumbia ini lagi’,”katanya dalam nada yang menahan sebak.
Sebagai kakak sulung beliau perlu berusaha keras dalam akademik supaya adik-adiknya boleh jadikan beliau sebagai penanda aras mereka.
“Saya sangat bersyukur adik-adik saya melakukan yang terbaik seperti apa yang saya impikan.”
Kejayaan yang diperolehinya disifatkan bukan usahanya semata-mata sebaliknya ia adalah kerja keras ibu bapanya yang membanting tulang empat kerat.
Cabaran Bukan Halangan Memburu Kejayaan
Seperti anak-anak muda yang lain, Jacquelyn juga tidak terlepas dari menghadapi pelbagai cabaran.
“Cabaran yang paling sukar ialah kewangan, pengangkutan dan liputan internet.
“Ibu bapa saya terpaksa mencatu perbelanjaan harian mereka ketika saya dan adik-adik masih di sekolah rendah dan menengah untuk memastikan saya dan adik-adik cukup perbelanjaan ke sekolah, memandangkan jarak umur kami berempat tidak jauh dan kami semua memerlukan duit dalam masa yang sama (serentak).
“Selain itu, pengangkutan menjadi kesukaran kerana ibu bapa tidak memiliki kereta, sekiranya saya habis cuti persekolahan semasa sekolah menengah dan ingin ke terminal bas untuk ke Miri kami akan minta pertolongan orang lain dan kadang kala tiada yang mahu menghantar dan membantu.
“Malah liputan internet yang tidak baik merupakan cabaran utama semasa pandemik Covid-19 dan menghadiri kelas secara atas talian.
“Saya dan adik-adik kadang-kadang tidak dapat menghadiri kelas atas talian namun bapa saya sangat gigih dengan memasang penarik liputan internet di rumah supaya kami tidak ketinggalan.”
Tidak mengenal putus asa, wanita ini menjadikan ibu bapanya sebagai sumber kekuatannya.
“Tiada apa yang dapat saya balas di atas setiap jasa dan pengorbanan mereka. Tanpa mengenal erti penat lelah demi melihat kejayaan anak-anak.
“Saya yakin dan percaya setiap keringat peluh yang mengalir dari tulang empat kerat ibu bapa sayalah yang mengiringi kejayaan kami (adik-beradik).”
Latar Belakang
Dari Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga ke Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Jacquelyn memperolehi keputusan cemerlang.
Bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), dia berjaya mendapat 5A dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula adalah 7A, manakala bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula dia berjaya memperoleh 9A 1B.
Berkat usaha dan pencapaian yang memberangsangkan dalam SPM, Jacquelyn berjaya mendapat biasiswa daripada Yayasan Biasiswa Sarawak Tunku Abdul Rahman untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Dia memilih melanjutkan pengajian dalam jurusan asasi undang-undang di Uniberisti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil dan menamatkan pengajian dalam ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian kelas pertama di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.
“Pada tahun 2022, saya telah ditauliah dan diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak .
“Kini saya berkhidmat sebagai peguam di firma guaman di Bintulu Sarawak, Dzulfadzli Hanizah & Co. Advocates.”
Tiga adiknya masing-masing bergraduasi dan masih belajar di universiti tempatan dan seorang di Australia, manakala dua abangnya pula sudah berkeluarga dan bekerja.
Wanita Melanau Iban masih berstatus bujang ini berjaya membuktikan bahawa kejayaan tak akan tercapai tanpa usaha keras, doa dan keberkatan daripada ibu bapa.
Oleh Azreen Keria