
SUDAH berdekad lamanya bumi Gaza menanggung penderitaan yang tiada penghujung. Jelas terdengar tangisan kanak-kanak, runtuhan rumah, hospital serta darah yang tidak lagi asing di jalanan menjadi sebahagian daripada realiti penduduk Gaza yang terus diuji.
Gaza bukan sekadar wilayah kecil di Palestin, tetapi simbol ketabahan dan jihad umat Islam yang sedang berdepan dengan kezaliman Zionis Israel.
Setiap hari, rakyat Gaza menghadapi pelbagai sekatan bekalan elektrik, makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Akan tetapi, semangat mereka tidak pernah luntur, bahkan terus memperjuangkan hak mereka sebagai penduduk asal bumi Palestin.
Dalam situasi yang semakin meruncing, umat Islam di seluruh dunia berdepan satu ujian besar adakah kita akan terus menjadi pemerhati atau mengambil peranan sebagai pendokong perjuangan ini.
Malah, hubungan antara sesama muslim bukan sekadar bersifat simbolik, tetapi mengandungi tanggungjawab dan amanah. Sebagaimana Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hujurat, ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah antara dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”
TANGGUNGJAWAB UMAT ISLAM
Islam bukan agama individualistik. Setiap muslim adalah sebahagian daripada sebuah tubuh yang satu.
Sabda Rasulullah SAW: “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling menyayangi, mengasihi dan berlembut sesama mereka adalah seperti satu tubuh; apabila satu anggota sakit, maka seluruh tubuh turut merasai sakitnya dengan berjaga dan demam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini cukup kuat untuk membangkitkan kesedaran bahawa penderitaan rakyat Gaza sepatutnya dirasai oleh seluruh umat Islam.
Apabila mereka disakiti, kita sewajarnya merasa terganggu dan tergerak untuk bertindak.
Lantaran demikian, umat Islam harus sedar bahawa simpati sahaja tidak mencukupi. Ia boleh dilakukan dengan pelbagai bentuk untuk menunjukkan solidariti kita sebagai umat Islam.
Antaranya bantuan kewangan adalah bentuk sokongan yang amat diperlukan. Banyak NGO Islam yang dipercayai seperti MyCARE, MAPIM dan sebagainya berusaha menghantar bantuan ke Gaza.
Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: “Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, dan tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang Dia kehendaki.” (surah al-Baqarah ayat 261)
Justru, tanggungjawab membantu Gaza tidak sama bagi semua orang, tetapi mengikut tahap kemampuan masing-masing.
Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia menggubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, dengan lidahnya. Jika tidak mampu juga, maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)
Oleh demikian, isu Gaza bukan hanya isu Palestin. Ia adalah isu iman, amanah, ukhuwah dan nilai kemanusiaan sejagat.
Umat Islam mesti bangkit daripada lena dan memikul tanggungjawab ini dalam apa jua cara yang termampu.
Bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada ma’ruf dan mmencegah dari mungkar.
Mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
Semoga kita tergolong dalam golongan yang berjaya, dan tidak tergolong dalam golongan yang hanya memandang tetapi tidak bertindak.

Saidina Ali di bawah asuahan Rasulullah SAW
SAIDINA Ali berpindah dari rumah ayahnya, Abu Thalib ke rumah Nabi Muhammad. Di sana beliau melihat sebuah gaya hidup yang baharu.
Dia menyaksikan bagaimana Rasulullah SAW melakukan pencarian terhadap kebenaran. Beliau menyaksikan bagaimana baginda beribadah sesuai agama Ibrahim, menghindari perilaku jahiliyah serta menghindari penyembahan berhalanya dengan mengasingkan diri ke gua Hira’ dan beribadah di sana.
Di bawah asuhan Rasulullah SAW, beliau diberi perhatian dan kasih sayang yang mendalam. Oleh yang demikian, beliau juga amat menyayangi Rasulullah SAW.
Beliau lebih banyak membesar di rumah Rasulullah SAW berbanding dengan rumah bapanya sendiri.
Oleh yang demikian, mustahil bagi beliau untuk tidak mencintai Rasulullah SAW, sedangkan semua orang mencintai baginda.
Mustahil juga bagi beliau untuk tidak menghormati dan meneladani baginda, sedang para pembesar Quraisy mengiktiraf baginda sebagai orang yang amanah dan dipercayai.
Baginda juga menjadi tempat rujukan masyarakat Quraisy dan penyelesai masalah-masalah mereka. Rasulullah SAW merupakan pembuka hidayah dan kebaikan serta pendidik sejati bagi Saidina Ali sejak daripada usia kecilnya.
Saidina Ali membesar di rumah Nabi, bernaung di bawah bayang-bayang akhlak mulia Nabi Muhammad di samping isteri baginda Khadijah binti Khuwailid yang merupakan seorang wanita yang bijak dan mulia.
Hasil gabungan asuhan dua manusia yang mulia itu, maka Saidina Ali membesar sebagai seorang kanak-kanak yang memiliki akhlak dan keperibadian yang luar biasa.
Di samping itu, Saidina Ali membesar dalam petunjuk yang benar serta jalan hidup yang bersih yang tidak ternoda oleh keburukan amalan-amalan jahiliyah.
Sesungguhnya amat beruntunglah Saidina Ali di mana tatkala kanak-kanak yang lain masih belum mengenal Allah SWT, Saidina Ali telah dipilih untuk mengenali Rabb Yang Maha Agung pada usia yang masih mentah.
Ketika rumah kanak-kanak yang lain dipenuhi dengan berhala-berhala shiliyah, rumah tempat Saidina Ali membesar dipenuhi dengan cahaya keimanan.
Oleh kerana membesar di rumah Rasulullah SAW maka Saidina Ali tidak pernah mengenali berhala-berhala Quraisy, apatah lagi menyembahnya.
Oleh Hanzalah Azman