Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Duduki SPM 2025 pada usia 60 tahun, Hamidan uji tahap keupayaan diri
  • INSPIRASI

Duduki SPM 2025 pada usia 60 tahun, Hamidan uji tahap keupayaan diri

Utusan Sarawak 9 hours ago
CALON persendirian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, Hamidan Yahaya, 61, menunjukkan slip keputusan SPM di Pejabat Pendidikan Perlis, hari ini. Bekas pemandu kenderaan tentera itu antara calon paling berusia menduduki peperiksaan SPM, terus mencabar diri dengan mengambil peperiksaan itu setiap tahun sejak 2022 bagi menguji kemampuan inteleknya. Hamidan yang belajar secara kendiri berharap golongan muda menghargai peluang pendidikan dan belajar bersungguh-sungguh. Foto Bernama

KANGAR: Seorang warga emas membuktikan bahawa semangat menuntut ilmu tidak mengenal usia apabila terus menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak 2022 sebagai calon persendirian untuk menguji tahap keupayaan diri.

Hamidan Yahaya, 61, dari Kampung Bohor Tui, Kuala Perlis dekat sini, yang juga bekas pemandu di Kem Rejimen 504 Askar Wataniah, berkata keputusannya mengambil peperiksaan itu bukanlah didorong oleh keperluan kerjaya, sebaliknya minat mendalam terhadap pembelajaran selain ingin mencabar kemampuan intelek sendiri.

Hamidan yang berkhidmat selama 27 tahun dan bersara pada tahun lepas berkata sepanjang tempoh itu, pencapaiannya menunjukkan perubahan mengikut keadaan kesihatan serta persediaan antaranya memperoleh A dalam Matematik pada 2022, diikuti B+ Sains (2023), C Matematik (2024) serta B Matematik dan C+ Sains pada 2025.

“Saya seronok hendak mencuba, nak uji IQ (darjah kecerdasan otak) … walaupun sudah berumur, saya rasa masih mampu belajar macam orang muda,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan SPM 2025 bagi negeri Perlis oleh Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin di Jabatan Pendidikan Negeri di sini, hari ini.

Hamidan yang mempunyai lima anak berusia antara 22 hingga 34 tahun serta tiga cucu itu berkata dia belajar sendiri menggunakan buku rujukan dan menganggap perubahan soalan setiap tahun itu menambahkan lagi keseronokannya untuk menduduki SPM.

“Mengenai cabaran, saya pernah terlibat dalam kemalangan kecil di jalan berhampiran rumah pada tahun lepas, hanya beberapa hari sebelum peperiksaan.

“Ketika itu banjir, dan air di jalan sudah surut sedikit, saya naik motosikal terlanggar lopak dan terjatuh kira-kira dua, tiga hari sebelum SPM. Saya fikir keputusan kali ini mungkin B ke bawah sebab jawab dalam keadaan sakit,” katanya.

Hamidan berkata pengalaman hidup sebagai anak yatim sejak tingkatan satu serta kesukaran ke sekolah suatu ketika dahulu menjadi antara faktor yang mendorongnya untuk tidak mensia-siakan peluang belajar pada usia sekarang.

“Dahulu, saya kayuh basikal pergi sekolah di Kampung Bohor Tui … banyak hari tak dapat pergi sebab susah. Sekarang ada peluang, saya nak cuba,” katanya yang merupakan antara calon paling berusia menduduki SPM di Perlis.- Bernama

Continue Reading

Previous: Wanita dalam penerbangan: Menembusi batas, menakluk angkasa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.