Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • DUBS Sri Aman komited perkukuh kerjasama strategik bersama SEDC
  • Tengah
  • WILAYAH

DUBS Sri Aman komited perkukuh kerjasama strategik bersama SEDC

Utusan Sarawak 7 hours ago
SESI perjumpaan Santai bersama SEDC dan ahli jawatankuasa DUBS Cawangan Sri Aman yang telah diadakan di Simanggang hari ini. Foto: DUBS Sri Aman

SIMANGGANG: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Sri Aman menzahirkan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dalam usaha memperkasa ekonomi usahawan bumiputera di peringkat akar umbi.

Komitmen itu dizahirkan sempena Sesi Perjumpaan Santai bersama SEDC dan ahli jawatankuasa DUBS Cawangan Sri Aman yang telah diadakan di sini hari ini.

Pengerusi DUBS Cawangan Sri Aman, Abdillah Majid, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada SEDC Wilayah Betong atas kesudian mengadakan pertemuan tersebut yang disifatkan amat bermanfaat kepada ahli-ahli DUBS.

Menurut beliau, sesi seumpama itu memberi ruang kepada golongan usahawan untuk memahami dengan lebih jelas peranan, fungsi serta inisiatif SEDC dalam membantu memperkasa ekonomi bumiputera, khususnya di peringkat komuniti setempat.

“Penubuhan DUBS Sri Aman telah membawa banyak manfaat kepada golongan usahawan bumiputera, bukan sahaja sebagai platform jaringan perniagaan, malah sebagai saluran penyampaian maklumat berkaitan peluang dan bantuan keusahawanan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata DUBS Sri Aman merancang untuk menganjurkan pelbagai program bersama SEDC pada masa akan datang bagi memberi pendedahan lebih meluas kepada usahawan di sekitar kawasan Sri Aman.

Abdillah turut menegaskan bahawa DUBS Sri Aman akan bergerak lebih terancang dan tersusun bermula 2026 dan tahun-tahun mendatang, dengan sokongan padu serta komitmen berterusan daripada semua ahli.

Sementara itu, Pengurus SEDC Wilayah Betong, Mohd Aizat Dollah, menyatakan rasa berbesar hati atas kerjasama serta perbincangan yang diadakan bersama DUBS Cawangan Sri Aman.

Beliau berharap kerjasama lebih erat dapat direalisasikan pada masa hadapan, yang boleh dimulakan dengan sesi penerangan dan penyampaian maklumat berkaitan program pembangunan usahawan kepada ahli-ahli DUBS Sri Aman.

Dalam sesi yang sama, Eksekutif Junior SEDC Wilayah Betong, Sarawatie Spawi, turut memberi penerangan mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh SEDC, termasuk bentuk bantuan serta geran yang disediakan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan usahawan bumiputera.

Selain itu, wakil Majlis Eksekutif DUBS Sarawak dan Naib Pengerusi DUBS Sri Aman, Awangku Hafizi Awang Azahari, mencadangkan agar SEDC meningkatkan kepelbagaian produk kewangan, termasuk menaikkan had pinjaman Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sehingga RM500,000.

Beliau juga menyarankan supaya satu dana khas disediakan bagi Bon Perlaksanaan Projek, khususnya melibatkan projek agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), memandangkan keperluan bon sehingga lima peratus daripada nilai projek kini menjadi beban kepada kontraktor bumiputera.

Menurutnya, langkah tersebut dilihat mampu meringankan tekanan kewangan kontraktor serta membuka lebih banyak peluang penyertaan bumiputera dalam projek berskala besar.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Penduduk Sebauh terus hadapi gangguan bekalan air, Tiong gesa penambahbaikan infrastruktur
Next: Op Remove: Buaya sembilan kaki ditangkap di Sungai Krian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.