
MIRI: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri menyambut baik kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang disifatkan sebagai langkah progresif untuk melindungi pekerja serta memacu ekonomi digital tempatan.
RUU yang diluluskan di Dewan Rakyat itu memperkenalkan kerangka baharu bagi mengisi kekosongan dalam undang-undang buruh sedia ada, khususnya dalam sektor tidak formal yang semakin menjadi pilihan dalam kalangan belia dan usahawan kecil.
Antara penekanan utama RUU ini ialah kewajipan kontrak bertulis yang lebih jelas, caruman pertubuhan keselamatan social (Perkeso), perlindungan daripada amalan tidak adil, mekanisme penyelesaian pertikaian, serta penubuhan Majlis Tripartit yang melibatkan kerajaan, penyedia platform dan pekerja.
Pengerusi DUBS Miri, Mohammad Hafidz Rohani berkata, langkah itu akan memberi keyakinan kepada para pemain industri gig di bandar ini termasuk penghantar makanan, pemandu kenderaan tempahan dalam talian dan pekerja bebas dalam bidang kreatif.
“Ramai belia dan usahawan kecil di Miri bergantung kepada ekonomi gig untuk menambah pendapatan keluarga, malah ada yang menjadikannya kerjaya utama.
Dengan perlindungan baharu ini, mereka bukan sahaja lebih terjamin dari segi keselamatan sosial, malah mempunyai keyakinan untuk terus berkembang dalam ekonomi digital,” katanya.

Sementara itu, ahli DUBS Miri yang juga pemandu kenderaan tempahan dalam talian, Mohd Zulkifli Osman menyifatkan RUU tersebut sebagai peluang untuk mewujudkan mekanisme harga yang lebih adil kepada penggiat industri.
“Isu utama pemandu ialah kadar tambang yang sering tidak seimbang dengan kos operasi seperti bahan api, penyelenggaraan dan insurans.
Dengan adanya Majlis Tripartit, kami berharap struktur harga yang lebih telus dan realistik dapat diwujudkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, DUBS Miri menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan RUU ini bergantung pada pendekatan yang seimbang, agar hak pekerja dapat dilindungi tanpa menjejaskan inovasi dan daya saing platform digital.
RUU ini diyakini mampu memperkukuh ekosistem ekonomi gig tempatan di Miri, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada belia dan usahawan kecil untuk berkembang seiring transformasi ekonomi digital negara.
Oleh Liong Chai Ling