
MIRI: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Wireless di sini yang berlaku 15 November lalu.
Kebakaran itu memusnahkan tujuh rumah, sekali gus menjejaskan kehidupan beberapa keluarga termasuk bayi berusia lima tahun serta seorang warga emas yang mengalami strok.
Menerusi inisiatif DUBSCares, DUBS Miri segera menggerakkan kutipan dalaman serta sumbangan ahli-ahlinya sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib mangsa.
Hasil kutipan tersebut, sebanyak RM4,550 berjaya dikumpulkan dan diagihkan kepada tujuh pemilik rumah sebagai bantuan awal bagi meringankan beban kewangan mereka.
Pengerusi DUBS Miri, Mohammad Hafidz Rohani berkata, pihaknya amat bersimpati dengan musibah yang menimpa penduduk terlibat dan berharap sumbangan itu dapat membantu mereka menghadapi fasa awal pemulihan.
“DUBS Miri akan meneliti bentuk bantuan susulan yang lebih bersesuaian, terutamanya bagi persediaan sesi persekolahan 2026 serta keperluan asas keluarga yang kehilangan tempat tinggal,” katanya ketika ditemui dalam sesi pertemuan bersama mangsa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli DUBS, para penyumbang serta warga Miri yang tampil menghulurkan bantuan dan sokongan moral, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan komuniti setempat.
Dalam pada itu, DUBS Miri turut mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Residen dan Pejabat Daerah atas koordinasi yang baik sepanjang operasi bantuan, serta kepada agensi terlibat termasuk JBPM, PDRM, APM, JKM, RELA, sukarelawan dan kru kapal Centus 10 yang membantu memadam kebakaran dari arah sungai.
DUBS Miri berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan sewajarnya kepada mangsa, termasuk penempatan semula di kawasan yang lebih selamat serta penyediaan dana bagi pembinaan semula rumah yang lebih selesa dan tersusun.
DUBS Miri menegaskan komitmen untuk terus bersama masyarakat setempat dan memastikan keluarga terjejas menerima sokongan berterusan demi membantu mereka bangkit semula selepas tragedi ini.
Oleh Liong Chai Ling