
KUCHING: Inisiatif pelancongan seperti ‘Duanwu Festival Glamping Adventure’ terus membuka ruang kepada rakyat Sarawak untuk meneroka destinasi tempatan sambil menghayati keindahan alam semula jadi.
Bertempat di Damai Escape Park, Santubong program ini turut memberi nafas baharu kepada usaha memperkukuh pelancongan dalam negeri.
Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, konsep perkhemahan moden atau ‘glamping’ kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan Santubong merupakan lokasi yang sesuai untuk semua lapisan umur.
“Saya memang menyarankan masyarakat kita khususnya di sekitar Kuching mahupun di luar Kuching untuk datang ke Santubong untuk menikmati keindahan alam semula jadi agar sama-sama membangunkan kawasan pelancongan ini,” katanya ketika ditemui media, hari ini.
Tambah beliau, aktiviti seumpama ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan sektor pelancongan tempatan, malah menjadi ruang terbaik untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Biarpun aktiviti perkhemahan memang menggunakan kos yang agak mahal namun ini memberi peluang kepada ahli keluarga untuk menikmati waktu bersama,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agensi-agensi kerajaan agar mempertimbangkan lokasi seperti Damai Escape Park bagi penganjuran Hari Keluarga atau program pembinaan pasukan.
“Selalunya kita buat aktiviti sebegini di hotel-hotel tapi kita boleh guna tempat yang berlatarkan alam semula jadi di mana tempat dan peralatan boleh disewa untuk tujuan tersebut,” katanya.
Jelasnya, penganjuran ‘Duanwu Festival Glamping Adventure’ dilihat bukan sahaja menyemarakkan sambutan budaya tradisional, malah berpotensi memperkasa potensi pelancongan domestik dengan pendekatan yang segar dan inklusif.
-UKAS