

CERPEN yang baik tidak semestinya membawa sesuatu karya yang berbentuk eksperimental, karya surealisme atau sukar difahami sehingga menyesakkan pemikiran pembaca lantas menumpulkan minat untuk menghabiskan pembacaan. Kadangkala cerpen yang baik hanya membawa tema yang biasa atau klise namun dengan jalinan plot yang tersusun diselarikan dengan keupayaan pengarang menyentuh hati dan menjentik akal pembaca yang turut disisipkan dengan nilai untuk dihayati pembaca – biarpun Albert Camus mengatakan bahawa penulis bukan moralis bersandarkan daripada pemikiran eksistensialis dan absurdisme yang dibawanya terutama dalam karyanya seperti The Stranger (L’Etranger) dan The Myth Of Sisyphus. Namun karya yang baik perlu diolah dengan bahasa yang indah untuk menggambarkan emosi watak atau latar karya yang dikarang.
Itulah gambaran awal tatkala membaca cerpen “Hadiah Untuk Tuan” yang dikarang oleh Siti Hajar Ahmad – dengan tema yang biasa-biasa tetapi tetap mampu menarik perhatian dan minat pembaca terutama dari aspek dualisme yang merujuk kepada kewujudan dua unsur yang bertentangan atau berbeza tetapi saling melengkapi dalam sesebuah teks. Unsur dualisme ini sering digunakan oleh pengarang untuk menggambarkan konflik, pertentangan nilai, atau keseimbangan dalam kehidupan manusia. Situasi itu boleh muncul dalam pelbagai bentuk seperti dualisme tematik.
Dalam cerpen “Hadiah Untuk Tuan”, pengarang ada menerapkan tentang pertentangan antara kebaikan dengan kejahatan melalui watak ‘saya’ atau Ahmad yang sering digelar dengan panggilan “ustaz” oleh watak-watak antagonis dalam cerpen tersebut seperti watak Tuan Ali, Tuan Ethan dan beberapa orang sahabatnya yang lain. Tuan Ali sering membawa teman-teman perniagaannya ke sebuah bilik dalam rumah agamnya yang digubah dengan dekorasi ala-ala kelab malam. Pengarang telah mendeskripsi bilik kegemaran Tuan Ali ini dengan rinci sehingga pembaca boleh menggambarkan perkara itu benar-benar wujud di hadapan mata. Cuma beberapa kesilapan ejaan (mungkin disebabkan kesilapan sewaktu menaip) sedikit sebanyak telah merencatkan kelancaran pembacaan. Kesilapan itu boleh dikurangkan dengan melakukan pembacaan atau pengeditan kendiri yang rapi sebelum sesebuah karya itu dihantar kepada penerbit.
Dualisme tematik melalui pertentangan “Baik vs Jahat” dalam cerpen ini begitu terserlah sejak permulaan lagi. Tuan Ali sering membawa lima orang rakan perniagaannya bersosial sambil ditemani wanita-wanita cantik, minum minuman keras sehingga mabuk dalam bilik berkenaan. Ahmad yang bekerja sebagai pembantu kepada Tuan Ali sering kali menolak apabila diajak untuk menyertai kumpulan berkenaan termasuk oleh watak Tuan Ethan. Perkara ini begitu jelas melalui dialog yang disusun oleh pengarang untuk menggambarkan situasi berkenaan:
“Jangan diajak si ustaz tu, Ethan. Dia sudi masuk dalam bilik ini pun sudah cukup baik.” kata Tuan Ali lalu ketawa besar. Gelak ketawa Tuan Ali disahut beramai-ramai oleh temannya yang lain.
Antara dualisme tematik dalam karya berkenaan ialah melalui pertentangan antara aspek tradisi dan modeniti yang bukan hanya merujuk kepada tempat tetapi juga mencakupi kepada pemikiran. Tuan Ali yang berada dalam kelompok modernity lebih cenderung kepada aspek materialistik seperti simbol penggunaan karpet sutera Persia yang menunjukkan darjat dan kedudukannya yang mementingkan kemewahan. Pengarang sama ada dengan sengaja atau tidak telah memasukkan beberapa simbol untuk menggambarkan watak Tuan Ali yang mementingkan materialistik – tentunya berbeza dengan watak Ahmad yang tebal dengan nilai dan kemanusiaannya. Perkara ini jugalah yang menimbulkan konflik yang memberat dalam pemikiran dan bahu watak Ahmad sehingga menimbulkan pertentangan yang begitu besar dalam dirinya. Ahmad yang menumpang di rumah yang mirip seperti istana itu sering berasa rimas dengan sikap Tuan Ali tetapi jiwanya terasa damai pula sewaktu melihat pemandangan kota metropolitan. Ada elemen paradoks yang dimasukkan oleh pengarang melalui persepsi atau sikap Ahmad. Perkara ini diolah oleh pengarang secara deskriptif:
Tidak tahan mencium aroma manis tajam yang mencucuk hidung, saya keluar dari bilik menuju ke balkoni dari tingkat 3. Rumah agam yang besar seumpama istana ini terkadang merimaskan. Namun, apabila saya membuang pandangan saya dari balkoni dan dijamu dengan permandangan yang indah kotaraya metropolitan membuatkan hati saya kembali damai.
Keadaan di kota metropolitan tentu memberikan gambaran tentang kehidupan manusia yang lepas bebas, tidak terikat dengan tradisi atau nilai seperti gambaran mencapah antara watak Tuan Ali jikalau dibandingkan dengan watak Ahmad. Apabila Ahmad tidak menyukai sikap Tuan Ali tetapi menjadikan kehidupan di kota sebagai terapi untuk mententeramkan jiwa telah menunjukkan elemen paradoks melalui watak berkenaan. Pengarang cuba menonjolkan konflik kejiwaan watak Ahmad yang turut berasa keliru apabila berada di rumah Tuan Ali dan tinggal di kota besar. Ditambah lagi dengan ugutan Tuan Ali sehingga Ahmad berasa tersepit sama ada ingin meneruskan kerjayanya atau mencari rezeki di tempat lain:
“Kalau kau hendak berhenti, kau pergilah. Aku tidak pernah memaksamu untuk kekal di sini. Namun, aku juga tidak akan mengusirmu keluar,” kata Tuan Ali pada suatu masa dahulu.
Menerusi cerpen “Hadiah Untuk Tuan”, dualisme watak menerusi pertentangan antara watak utama dan watak antagonis dipaparkan secara jelas tatkala Ahmad melawan perintah Tuan Ali daripada mengusir sebuah keluarga yang culas membayar hutang rumah. Ahmad berasa kasihan dengan kemiskinan dan ketidakupayaan keluarga berkenaan membayar sewa lebih-lebih lagi tatkala melihat air mata seorang balu yang mempunyai empat orang anak yang masih kecil itu merayu kepadanya agar jangan mengusir mereka dari rumah tersebut. Nilai kemanusiaan yang terselit pada jiwa Ahmad untuk memberi kelonggaran kepada keluarga berkenaan selama tiga bulan sebelum sewa itu dibayar tidak dipersetujui oleh Tuan Ali:
“Sepatutnya, kau sudah belajar dan faham bagaimana hendak menjadi pembantuku yang tegas dan kuat,” Tuan Ali melepaskan dengusan kecil seraya memandang saya – berkaca dengan nyala yang sukar untuk saya terjemahkan.
Perbezaan sikap dan prinsip watak Ahmad dan Tuan Ali begitu jelas biarpun mereka membesar bersama-sama dalam rumah agam tersebut kerana ayah kepada Ahmad menjadi pembantu kepada ayah Tuan Ali sehingga malapetaka menimpa kedua orang tua Ahmad. Hanya keluarga Tuan Ali sahaja tempatnya untuk meneruskan kebergantungan hidup meski pun hubungan mereka adalah sebagai majikan dan pekerja sahaja. Sewaktu peningkatan usia itulah, Ahmad melihat Tuan Ali yang semakin hanyut dengan kehidupannya sebagai pemimpin utama sebuah syarikat hartanah milik keluarganya. Tuan Ali menjadi seorang yang panas baran, kaki botol, kaki perempuan dan sombong pada kedudukannya. Dia sangat benci melihat gelandangan yang datang meminta sedekah. Katanya, mereka semua adalah pemalas. Pengarang sengaja mewujudkan pertentangan sikap di antara dua watak berkenaan untuk menunjukkan perbezaan antara watak yang kaya dan miskin. Watak Ahmad dan Tuan Ali telah dijadikan simbolisme untuk menunjukkan perbezaan berkenaan.
Tajuk cerpen ini, iaitu “Hadiah Untuk Tuan” menjadi keutamaan kepada pengarang untuk memberikan nilai dan kesedaran kepada Tuan Ali apabila dia menyuruh Ahmad mengutip hutang. Tuan Ali pula ingin menguji kesetiaan dan kejujuran Ahmad sebagai pekerjanya dengan mengarahkan pekerjanya itu membelikan “sesuatu” kepadanya yang belum pernah dimilikinya dalam kehidupannya selama ini. Pembaca akan berteka-teki, apakah tindakan yang akan Ahmad lakukan, dan apakah “sesuatu” yang akan dibeli oleh Ahmad kepada Tuan Ali? Unsur saspens ini sengaja digarap oleh pengarang untuk mengekalkan momentum minat pembaca terhadap hasil karyanya.
Sewaktu Ahmad mengutip hutang, ada banyak pengajaran yang cuba diterapkan oleh pengarang kepada pembaca seperti manusia yang hidup bermewah tetapi sangat liat untuk membayar hutang dan juga risiko yang terpaksa ditanggung melalui pekerjaan yang dilakukan oleh Ahmad, iaitu akan menerima lampiasan kemarahan daripada pemiutang. Semua itu menguji kesabaran Ahmad yang sengaja dilonjak angkat oleh pengarang sebagai satu gambaran nilai yang terpuji untuk menunjukkan pertentangan atau perbezaan ketara dengan watak Tuan Ali.
Sewaktu Ahmad mengutip hutang di samping mencari-cari hadiah yang sesuai dengan Tuan Ali, dia berjumpa dengan seorang kanak-kanak yang kelaparan bernama Zainab. Dia membeli roti kepada kanak-kanak perempuan tersebut. Kemudian dia diajak mengunjungi rumah kanak-kanak itu dan berjumpa dengan ayahnya yang sudah tua dan kelihatan seperti seorang yang buta. Dia bermalam di rumah uzur tersebut. Sepanjang berada di rumah itu, Ahmad memikirkan tentang hadiah yang hendak diberinya untuk Tuan Ali. Dia telah menyerahkan semua wang daripada kutipan hutang yang dilakukannya kepada Zainab dan ayahnya. Pengarang cuba menonjolkan bahawa tidak ada hadiah berbentuk material yang boleh diberikan kepada Tuan Ali melainkan cinta. Pengarang secara tidak langsung menekankan tentang pentingnya bersedekah dalam kehidupan.
Keputusan yang dibuat oleh Ahmad telah menimbulkan kemarahan kepada Tuan Ali sehingga Ahmad ditampar dan dihalau keluar. Namun Ahmad tidak berkecil hati malah tidak mahu meninggalkan tuannya. Dualisme melalui watak Ahmad dan Tuan Ali sangat relevan jikalau ditinjau mengikut teori klasik ahli antropologi Perancis yang terkenal pada abad ke-20 melalui teori pertentangan binari yang telah diperkenalkan oleh Claude Levi-Strauss (1908-2009). Teori ini mendedahkan tentang konsep pertentangan binari sebagai asas untuk memahami struktur budaya serta pemikiran manusia universal. Beliau berpendapat bahawa minda manusia secara semula jadi cenderung untuk mengorganisasikan dunia melalui pasangan konsep yang saling bertentangan. Pertentangan ini mencerminkan cara universal manusia memberi makna kepada realiti. Naratif sastera telah disusun berdasarkan struktur yang berulang dalam teks yang menyusun naratif lantas menyampaikan mesej yang mendalam. Dalam hal ini, pertentangan binari diserlahkan melalui mentaliti dan sikap watak utama dalam cerpen ini iaitu melalui watak Ahmad dan Tuan Ali. Hal ini diolah dan disusun oleh pengarang untuk menyampaikan mesej dan sindiran kepada masyarakat tatkala tidak menyeimbangkan antara kepentingan material dengan aspek kejiwaan dan keagamaan.
Bencana alam yang berlaku tanpa mengira antara miskin dan kaya telah meruntuhkan keegoan dan kemewahan yang dimiliki oleh Tuan Ali selama ini. Hilang legasi perniagaan yang dibina selama ini. Pada waktu itu, Ahmad telah cuba menyedarkan Tuan Ali tentang hadiah yang tidak nampak tetapi sangat bermakna. Wang kutipan hutang yang digunakan oleh Ahmad untuk bersedekah atas nama Tuan Ali suatu ketika dahulu telah menemukan Tuan Ali tentang makna cinta atas nama kebesaran Ilahi apabila individu berkenaan yang membantunya semula. Pada waktu berkenaan, Tuan Ali mula menyedari bahawa perbuatan baik yang dilakukan akan dilipat-gandakan dalam pelbagai bentuk oleh-Nya. Kemewahan atau rezeki yang ada di atas muka bumi ini tidak kekal lama dan perlu dikongsikan termasuk melalui sedekah untuk mencari keberkatan. Dualisme antara watak Ahmad dan Tuan Ali telah menyatu melalui tindakan Ahmad yang diucapkan melalui dialog yang memberi kesan emosi kepada pembaca :
“Sekarang, aku sedar. Aku adalah seorang kaya yang miskin. Miskin dengan cinta. Miskin perhatian dengan orang lain. Terima kasih, Ahmad. Engkaulah sahabatku yang paling setia. Maafkan aku kerana telah memperlakukanmu dengan buruk. Walhal, engkau telah membelikan aku cinta yang tidak aku miliki dalam hidupku.”
Secara keseluruhannya, cerpen ini diolah dengan lancar terutama dari aspek penyusunan plotnya yang berkembang dengan latar serta tema yang dibawa. Namun aspek dramatik yang cuba diketengahkan oleh pengarang kadangkala nampak agak melampau tatkala Tuan Ali terus kehilangan semua kemewahan yang dimilikinya selama ini. Gempa bumi yang berlaku digambarkan telah meruntuhkan banyak bangunan. Adakah Tuan Ali tidak mempunyai simpanan kewangan atau saham perniagaan? Apakah impak runtuhan bangunan itu kepada perniagaan Tuan Ali? Semua perkara itu tidak dirincikan oleh pengarang sehingga jalinan plot yang diolah oleh pengarang menjadi tergantung. Dalam menghasilkan karya beraliran realisme, ketidaklogikan akan merosakkan kesan naratif. Pembaca akan hilang kepercayaan atau fokus pada bahan bacaannya.
Antara kelebihan pada pengarang melalui penghasilan cerpennya ialah pengolahan bahasanya yang lancar yang menjadi tulang belakang kepada penyampaian mesej, mood dan kesan cerita. Cerpen ialah bentuk naratif yang pendek dan padat. Oleh itu, setiap perkataan dan ayat mesti berfungsi untuk menyampaikan maksud tanpa penggunaan kosa kata yang lewah. Semua ini amat diambil berat oleh pengarang dalam menghasilkan cerpen “ Hadiah Untuk Tuan”. Bahasa yang diolah oleh pengarang memainkan fungsinya dengan berkesan melalui empat elemen berikut:
- Menjamin kefahaman pembaca
- Mewujudkan irama dan rentak cerita
- Menghidupkan watak dan latar
- Memudahkan penyampaian tema
Walau bagaimanapun, terdapat dua elemen yang kurang dipenuhi oleh pengarang tatkala pengolahan bahasa dalam cerpen berkenaan kurang memberikan kesan estetik yakni dari aspek keindahan bahasa. Ketertarikan pembaca pada sesebuah karya bukan disebabkan oleh jalan cerita tetapi bagaimana sebuah cerpen itu diolah dan diceritakan. Selain itu, bahasa yang digunakan perlulah menunjukkan kematangan seseorang pengarang yang mampu mengawal emosi, teknik dan pemikiran.
Sememangnya peningkatan penulis muda dan penulis baharu di Sarawak sejak kebelakangan ini sering diperkatakan. Semuanya dirancang dengan teliti oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak terutamanya melalui pelbagai bengkel penulisan termasuk penyediaan ruangan Wadah Bahasa dan Sastera yang menjadi wahana untuk penulis baharu mempelajari sesuatu berdasarkan ulasan yang diberikan. Ulasan yang diberikan itu tetap hanya merupakan ulasan yang hanya akan memberikan makna jikalau dihayati dan difahami oleh penulis berkenaan. Yang pasti, kecemerlangan seseorang penulis adalah disebabkan usahanya sendiri (dibantu serba sedikit oleh faktor luaran) termasuk melalui komitmennya menelaah karya-karya sastera terdahulu atau masa kini yang boleh dijadikan pedoman untuk melonjakkan mutu karya. Itu juga adalah dualisme dalam sastera.
Buat Siti Hajar Ahmad, anda pastinya mempunyai ruang dan peluang yang cerah dalam penulisan jikalau terus berusaha menghasilkan sesuatu karya di samping keluar dari kotak untuk memberikan kesegaran dan makna baharu pada karya. Semuanya mampu dilakukan dengan iltizam.
Abang Median Abang Said