

MUKAH: Polis menahan dua warga asing termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah secara kecil-kecilan dalam serbuan di sebuah bilik hotel di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kira-kira 1.00 pagi hasil risikan yang dijalankan pihak polis.
Beliau berkata, seorang lelaki berumur 29 tahun dan seorang wanita berumur 36 tahun ditahan dalam operasi itu.
“Hasil pemeriksaan menemukan 40 keratan tiub straw lut sinar dan sembilan paket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu yang disembunyikan dalam sebuah beg kecil.

“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas ialah 33.54 gram dengan nilai dianggarkan RM1,700. Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM932,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhamad Rizal berkata, kedua-dua suspek dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala satu kertas siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 terhadap suspek lelaki kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh direman selama tujuh hari sehingga 29 Mei ini bagi membantu siasatan.
Muhamad Rizal berkata, IPD Mukah komited dalam usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkannya menerusi talian hotline 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Tarani Lanting