

MUKAH: Dua lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ditahan polis dalam satu serbuan di hadapan sebuah bangunan kedai di Jalan Boulevard Setiaraja, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kedua-dua suspek berusia 38 dan 54 tahun itu ditahan sekitar 8.00 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek pertama membawa kepada penemuan tiga paket plastik lutsinar, manakala satu paket plastik lutsinar lagi ditemui pada suspek kedua.
“Pemeriksaan lanjut mendapati semua paket tersebut mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, anggaran berat keseluruhan rampasan dadah tersebut adalah 10.30 gram dengan nilai pasaran sekitar RM1,150.
Tambahnya, keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.
“Kedua-dua lelaki terbabit yang bekerja sebagai buruh di sebuah ladang kelapa sawit telah dibawa ke IPD Mukah untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mahkamah Majistret Mukah telah membenarkan permohonan reman selama empat hari terhadap kedua-dua suspek bermula hari ini sehingga 12 Jun ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Rizal berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan sebagai pengedar dadah atau ‘pusher’ di sekitar bandar Mukah.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi talian Hotline IPD Mukah di 084-871222.
Oleh Tarani Lanting