

KUCHING: Dua kes baharu rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di Sarawak dengan kedua-dua mangsa meninggal dunia pada 19 September lalu, menjadikan jumlah kumulatif kes sejak wabak itu diisytiharkan pada Julai 2017 meningkat kepada 87 kes, termasuk 80 kematian.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan kadar kematian akibat rabies kini mencecah 92 peratus. Sehingga kini, empat kes telah direkodkan bagi tahun 2025, iaitu dua kes lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Mangsa pertama ialah seorang wanita berusia 22 tahun dari Petra Jaya, Kuching yang mula mengalami demam, lemah badan, sakit perut, sensitif terhadap cahaya dan bunyi serta sukar menelan pada 8 September.
Beliau dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 14 September dan disahkan meninggal dunia pada 19 September. Siasatan mendapati mangsa pernah dicakar kucing terbiar pada Julai lalu namun tidak mendapatkan rawatan.
Kes kedua pula membabitkan seorang suri rumah berusia 67 tahun dari Taman Desa Wira, Batu Kawa. Mangsa menunjukkan gejala demam, loya, kurang selera makan, perubahan tingkah laku, kesukaran berjalan, pertuturan tidak jelas dan sukar menelan pada 13 September.
Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 16 September tetapi meninggal dunia tiga hari kemudian.
Siasatan mendapati mangsa digigit anjing terbiar pada 30 Ogos, selain memelihara empat haiwan peliharaan yang tidak divaksin. Seekor daripadanya menunjukkan gejala rabies sebelum mati, dan bangkainya dibuang ke sungai.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 13 September tahun ini, sebanyak 13,894 kes gigitan haiwan direkodkan di Sarawak, dengan purata 375 kes seminggu.
Sebanyak 8,297 kes (59.7 peratus) melibatkan kucing, 5,422 kes (39 peratus) melibatkan anjing dan 175 kes (1.3 peratus) membabitkan haiwan lain. Daripada jumlah itu, 67.6 peratus berpunca daripada haiwan peliharaan.
“Penyakit rabies masih belum dapat dibendung sepenuhnya di Sarawak. Ia boleh menular melalui gigitan atau cakaran, serta pendedahan kepada air liur mamalia dijangkiti rabies, terutamanya anjing dan kucing,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan mengelakkan risiko gigitan atau cakaran haiwan terbiar, mencuci luka di bawah air mengalir dengan sabun sekurang-kurangnya 15 minit sebelum mendapatkan rawatan di Post-Bite Clinic, serta tidak mengendalikan bangkai haiwan yang mati tanpa diketahui puncanya.
JKN Sarawak turut mengingatkan pemilik supaya memastikan anjing dan kucing peliharaan menerima vaksin rabies tahunan dan tidak dibiarkan berkeliaran bebas.
“JKN Sarawak menyeru semua pihak terus bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan rabies dapat dilaksanakan dengan berkesan,” tegas kenyataan itu.