

DITAHAN… Dua wanita berusia lingkungan lewat 30-an dan awal 50-an ditahan polis selepas didapati positif dadah dalam satu Op Tapis Khas yang dijalankan di kawasan Engkilili, semalam. Foto IPD Lubok Antu
LUBOK ANTU: Dua wanita berusia lingkungan lewat 30-an dan awal 50-an ditahan polis selepas didapati positif dadah dalam satu Op Tapis Khas yang dijalankan di kawasan Engkilili, semalam.
Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, kedua-dua suspek ditangkap oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu dalam operasi tersebut.
Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Susulan itu, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
IPD Lubok Antu dalam kenyataannya turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah di kawasan masing-masing agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
Maklumat boleh disalurkan melalui talian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di talian 017-592 9211.
IPD Lubok Antu menegaskan pihaknya akan terus komited memerangi kegiatan penyalahgunaan dadah bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman masyarakat di daerah Lubok Antu sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman