
MUKAH: Program MySaveFood Ramadan yang berlangsung selama tujuh hari di Bazar Ramadan Setiaraja Mukah mencatat kejayaan apabila hampir dua tan lebihan makanan berjaya diselamatkan daripada pembaziran, semalam.
Jumlah keseluruhan makanan yang dikumpulkan dianggarkan bernilai lebih RM20,000 dan telah diagihkan kepada hampir 1,000 penerima termasuk pelajar B40 Politeknik Mukah serta golongan memerlukan di sekitar Mukah.
Program tersebut dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia serta Gerakan Pengguna Siswa Politeknik Mukah dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan.
Pengerusi GEMA Negeri Sarawak, Mohd Amirrul Mukminin berkata, Bazar Ramadan Mukah merupakan antara lokasi dengan jumlah kutipan makanan yang diselamatkan paling tinggi di Malaysia pada tahun ini.
“Inisiatif ini penting bagi memastikan lebihan makanan yang masih elok tidak berakhir sebagai sisa pepejal. Pada masa sama, ia membantu memelihara alam sekitar dan mengurangkan pembaziran,” katanya dalam satu kenyataan.


Sementara itu, Penasihat Gerakan Pengguna Siswa Politeknik Mukah merangkap Ketua Penyelaras Sukarelawan MySaveFood Bahagian Mukah, Fatihah Ahmad berkata, penglibatan pelajar dalam program tersebut memberi pendedahan langsung kepada isu pengurusan sisa makanan dan tanggungjawab sosial.
“Mahasiswa bukan sahaja menyumbang tenaga sebagai sukarelawan, malah mempelajari aspek pengurusan, koordinasi dan khidmat komuniti secara praktikal,” ujarnya.
Dalam pada itu, peniaga Bazar Ramadan Mukah menyifatkan program berkenaan sebagai satu inisiatif murni yang wajar diteruskan kerana pembaziran bukanlah amalan yang baik, manakala sedekah merupakan amalan mulia yang sangat digalakkan semasa Ramadan.
Program MySaveFood Ramadan Mukah 2026 dilihat sebagai model kerjasama berimpak tinggi antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan institusi pendidikan dalam menangani isu pembaziran makanan di peringkat komuniti.