

KUCHING: Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes samun membabitkan seorang pemandu e-hailing di Kampung Gita Baru, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata kejadian berlaku sekitar 3.08 pagi apabila mangsa disamun oleh dua suspek, menyebabkan kerugian dianggarkan RM2,850.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, polis berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 51 dan 25 tahun. Beberapa barangan dipercayai berkaitan kes turut dirampas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala hasil saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.


Dalam kejadian berasingan pada hari sama, sekitar 12.15 tengah malam, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun di Jalan Central Timur, di sini, kerana disyaki terlibat dalam kes curi dalam bangunan di sebuah rumah yang sedang diubah suai.
“Suspek turut didapati positif dadah. Permohonan reman selama tiga hari sehingga esok telah diluluskan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala bagi kesalahan berulang, pesalah boleh dikenakan sebatan.
Sehubungan itu, Alexson menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam kegiatan jenayah serta menyalurkan maklumat kepada Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444.
Oleh Connie Chieng