

KUCHING: Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, mengesahkan penahanan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes khianat terhadap kabel yang tular di media sosial.
Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan pada Selasa lepas sekitar 11.30 malam dalam operasi berasingan di kawasan Jalan Merdeka dan Jalan Astana, Petra Jaya.
“Siasatan awal mendapati suspek berumur antara 30 hingga 38 tahun itu dipercayai terlibat dalam perbuatan merosakkan kabel,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, polis turut merampas tiga kenderaan iaitu Perodua Viva berwarna perak, Perodua Myvi berwarna kelabu dan Proton Wira berwarna biru, selain beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memotong kabel.
Tambah beliau, kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan hasil saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.



Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap kabel, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, Alexson menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah dan meminta mereka yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444.
Oleh Connie Chieng