

KUCHING: Polis menahan dua suspek tempatan bagi membantu siasatan kes curi motosikal yang dilaporkan di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Alexson Naga Chabu, berkata seorang lelaki berusia 32 tahun dan seorang wanita berusia 33 tahun ditahan sekitar 2.30 petang pada 28 Februari lalu di sebuah rumah di Jalan Green menerusi Ops Lejang Khas.
“Siasatan awal mendapati lelaki tersebut terlibat dalam kes curi motosikal yang dilaporkan di sekitar Kuching, manakala wanita itu adalah teman wanitanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Avantis berwarna biru yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.


Kedua-dua suspek didapati mempunyai beberapa rekod jenayah lampau. Hasil saringan air kencing juga mendapati mereka positif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri motosikal yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum tujuh tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah dan menggesa mereka yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah supaya menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244444.
Oleh Connie Chieng