
LUBOK ANTU: Detik cemas menyelubungi sepasang lelaki dan wanita apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh ke dalam parit dalam satu kemalangan kendiri di jalan menuju ke Kampung Sedarat Panjang dekat Simpang Lubok Antu, petang ini.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut 3:35 petang sebelum mengerahkan pasukan penyelamat ke lokasi kejadian.
Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong yang diketuai oleh Komander Operasi, Massuria Ini, telah digerakkan bersama sebuah jentera Tunda dan Penyelamat Kebakaran Ringan (FRT) bagi menjalankan khidmat bantuan.

Pasukan penyelamat terpaksa menempuh perjalanan sejauh 32 kilometer dari balai berdekatan dan tiba di lokasi kejadian 4:06 petang bagi memeriksa keadaan mangsa serta kenderaan yang terlibat.
Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga telah terbabas ke dalam parit di bahu jalan, namun kedua-dua mangsa dilaporkan telah berjaya keluar dari kenderaan tersebut dengan bantuan orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba.
Mangsa lelaki dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal yang serius, manakala mangsa wanita pula mengadu mengalami kesakitan pada bahagian bahu akibat impak kemalangan tersebut.

Anggota bomba bertindak memberikan rawatan awal kepada mangsa wanita di lokasi kejadian sebelum menyerahkannya kepada pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dibawa ke hospital bagi rawatan susulan.
Sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang risiko kebakaran, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak membuka terminal bateri kenderaan tersebut sebelum memastikan kawasan persekitaran benar-benar selamat untuk pengguna jalan raya yang lain.
Operasi tersebut terkawal sepenuhnya 4:15 petang dan ditamatkan lima minit kemudian setelah pihak bomba memastikan tiada lagi punca bahaya dikesan di lokasi nahas.
Oleh Adi Safarman