Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Dua RUU berkaitan ekonomi diluluskan di Dewan Rakyat, Dewan Negara
  • SEMASA

Dua RUU berkaitan ekonomi diluluskan di Dewan Rakyat, Dewan Negara

Utusan Sarawak 2 months ago
MENTERI Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Pembekalan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Negara, kelmarin. FotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 yang melabuhkan tirainya semalam, menyaksikan dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan ekonomi diluluskan selepas bersidang selama 12 hari.

Dewan Negara yang mula bersidang pada 2 Mac lepas, meluluskan RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025 di bawah Kementerian Kewangan dan RUU Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 di bawah Kementerian Ekonomi.

RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025 dibentangkan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 12 Ahli Dewan Negara.

RUU tersebut melibatkan pengeluaran sejumlah wang yang tidak melebihi RM20,191,299,500 daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan perkhidmatan untuk 2024.

RUU CCUS 2025 diluluskan pada hari terakhir persidangan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, bertujuan memberi peluang kepada pengembangan pelaburan dan ekonomi negara.

Antara RUU lain yang diluluskan ialah RUU Majlis Media Malaysia 2024 (MMM 2024) dan RUU BERNAMA (Pindaan) 2024 di bawah Kementerian Komunikasi dan RUU Kumpulan Wang YTAR (Pindaan) 2025 di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Antara tumpuan persidangan kali ini adalah kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan ke Dewan Negara bagi bacaan kali kedua RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 pada 20 Mac.

MENTERI Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Negara, semalam. FotoBERNAMA

Perdana Menteri turut menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai pencapaian dan keberkesanan fungsi serta komposisi lembaga pengarah Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang menetapkan standard pencapaian dan integriti dalam operasi pelaburan serta perkhidmatan.

Pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula pada 3 Februari lepas, Dewan telah meluluskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dan usul membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 serta beberapa RUU.

Turut diluluskan RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025 bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan berjumlah RM20,191,299,500 daripada Kumpulan Wang Disatukan dan RUU CCUS 2025.

Dewan Negara pada 13 Mac meluluskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dengan majoriti Ahli Dewan Negara bersetuju berbanding yang tidak bersetuju setelah ia dibahaskan selama lima hari bermula 3 Mac.

Sesi tersebut disusuli dengan penggulungan oleh 28 kementerian yang terlibat.

Sementara itu, sebanyak sembilan akta diluluskan dalam Mesyuarat Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang berlangsung pada 14 Oktober hingga 12 Disember tahun lepas telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, antaranya Akta Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) dan Akta Kewangan 2024.

Selain itu, Akta Langkah-Langkah bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2024, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No.2) 2024, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 dan Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024.

Tiga lagi akta yang mendapat perkenan Seri Paduka Baginda ialah Akta Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024, Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2024 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2024.

Persidangan Dewan Rakyat turut diisi dengan sesi penerangan Perdana Menteri berhubung aktiviti petroleum di Sarawak melibatkan Petronas dan Petros (Petroleum Sarawak Berhad), apabila kerajaan Persekutuan memperakui aspirasi Sarawak yang berhasrat menceburi kegiatan industri minyak di negeri berkenaan.

Pada 3 Februari lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15. – Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Muhammad, Abdul, Siti, Nur nama paling banyak didaftar JPN
Next: Seramai 5.4 juta akan menerima bantuan SARA mulai 1 April

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.