

DUA rumah setinggan musnah dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku berhampiran kawasan San-San Garden di sini pagi tadi. Foto PGO Bomba Sarawak
BINTULU: Dua rumah setinggan musnah dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku berhampiran kawasan San-San Garden di sini pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada 11.25 pagi, dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 6 kilometer. Jentera pertama tiba di lokasi pada 11.32 pagi.
Menurut Komander Operasi, Mohd Syukri Abdullah, kebakaran melibatkan dua rumah setinggan dengan struktur tidak kekal yang terbakar 100 peratus. Anggaran keluasan setiap rumah adalah 18×20 kaki persegi.
Pasukan bomba bertindak pantas menggunakan 1 salur bantu mula, 2 aliran sepanjang 200 kaki, dan 2 nozel dengan sumber air diperoleh daripada pam jentera.
Tindakan pantas pasukan operasi berjaya menghalang api daripada merebak ke rumah ketiga, yang hanya mengalami kerosakan kecil akibat bahangan haba.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 11.42 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada 11. 58 pagi.
Kerja-kerja pemeriksaan turut dijalankan sehingga tiada lagi punca api dan sebarang risiko bahaya di lokasi kejadian.
Operasi melibatkan kekuatan seramai 10 anggota bersama 1 jentera Penyelamat dan Pemadan Kebakaran (FRT), 1 jentera Penyelamat dan Pemadan Kebakaran Kompak (CFRT), dan 1 unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini, punca kejadian dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.