
SIBU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan dua rangkaian jenayah yang terlibat dalam kes samun dan ragut, hasil beberapa siri tangkapan yang dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, kejayaan ini merupakan hasil usaha berterusan pasukan polis dalam membanteras jenayah yang berlaku di sekitar daerah tersebut.
Dalam tangkapan pertama pada 3 Julai lalu, sepasukan polis dari Balai Polis Lanang berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya lapan kes samun dan ragut melibatkan warga emas wanita sekitar bulan Mac dan April lalu.
“Suspek dipercayai bertindak secara bersendirian dan menjadikan warga emas sebagai sasaran utama. Nilai keseluruhan kerugian yang dialami mangsa dianggarkan sekitar RM10,500,” katanya pada sidang media, hari ini.
Suspek kini ditahan reman sehingga 23 Julai ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun serta denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Sibu turut berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian pecah kedai di sekitar Sibu sejak Jun lalu.
“Suspek pertama ini membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 53 tahun pada 17 Julai 2025, yang disyaki menjadi pembeli barang curi. Serbuan di rumah suspek kedua membawa kepada rampasan barang-barang bernilai kira-kira RM45,000,” katanya.
Kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Seksyen 457 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, manakala Seksyen 411 boleh dikenakan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menyasarkan premis seperti pejabat dan lot kedai yang dipecah masuk pada waktu malam.
Keseluruhan kerugian daripada kejadian pecah kedai ini dianggarkan sebanyak RM90,082.
“PDRM komited memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Orang ramai digesa terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah bagi membantu usaha pencegahan dan pembanterasan,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting