
SIBU: Dua projek utama sedang dilaksanakan bagi mengatasi masalah bekalan air di kawasan Bawang Assan, termasuk penggantian paip uzur di Sungai Maaw dan pembinaan Loji Rawatan Air Akut di Sungai Sadit.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kelvin Lau Kor Jie, berkata projek ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak untuk memastikan bekalan air bersih dan mencukupi kepada penduduk setempat.

“Bagi kawasan Bawang Assan, terdapat dua projek penting yang sedang dilaksanakan. Pertama ialah penggantian paip uzur di Sungai Maaw dengan kos RM10.5 juta, yang telah pun siap pada Julai tahun lepas.
“Satu lagi adalah pembinaan Loji Rawatan Air Akut di Sungai Sadit, di bawah program intervensi akut, yang dijangka siap tidak lama lagi. Apabila siap, loji ini mampu menghasilkan empat juta liter air sehari (MLD),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mantar Gawai Dayak Komuniti N.53 Bawang Assan, yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Temenggong Jonathan Bangau di Rumah Joseph Abet, baru-baru ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai.
Turut hadir ialah Setiausaha MDLBS, Ng Siang Wei, Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bawang Assan, Romoe Christopher Tegong, Temenggong Stanley Geramong, Penghulu Dennis Ansam, Pengerusi Penganjur Nuah Ansam dan tetamu lain.
Lau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Kesihatan Awam MDLBS, menambah bahawa kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana penuh untuk projek ini.
“Saya masih ingat, tahun lepas semasa saya datang ke sini untuk satu program, isu bekalan air ini telah dibangkitkan. Sejak itu, kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk menaik taraf loji rawatan Salim yang kini dalam proses,” jelasnya.
Oleh Tarani Lanting