
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin menyaksikan penyerahan Surat Setuju Terima oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng kepada kontraktor bagi pelaksanaan dua projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Projek tersebut bertujuan menambah baik infrastruktur serta memenuhi keperluan komuniti di kawasan Kota Sentosa.
Projek pertama di bawah RTP 2026 dianugerahkan kepada Spring Rain Construction melibatkan kerja menaik taraf sistem perparitan dan laluan pejalan kaki di lorong belakang BDC Lorong D8A, Taman Satria Jaya dengan nilai kontrak RM350,000.
Projek itu dijangka meningkatkan keselamatan, kebolehcapaian serta menyelesaikan masalah perparitan yang berlarutan di kawasan berkenaan.
Sementara itu, projek RTP 2025 dianugerahkan kepada Syarikat Langit Cerah bagi pembinaan kemudahan tempat letak kenderaan baharu serta pemasangan penghadang jalan di Lorong 1 hadapan dewan dan Surau Al-Mukhlis, Kampung Stutong Melayu dengan nilai kontrak RM100,000.
Inisiatif tersebut dijangka membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan kemudahan kepada penduduk setempat.
Yap berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan kerjasama kukuh antara pejabatnya dan MBKS sebagai agensi pelaksana.
“Kerjasama ini memastikan keperluan rakyat ditangani dengan cekap serta pembangunan dapat dilaksanakan di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau menambah, usaha bersama seperti ini menunjukkan komitmen dalam menyediakan penyelesaian praktikal dan berimpak kepada rakyat Kota Sentosa.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan MBKS serta semua pihak berkepentingan bagi menyelesaikan isu dan meningkatkan kualiti hidup komuniti,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MBKS, kontraktor serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek tersebut.
Oleh Connie Chieng