
BINTULU: Kerajaan Sarawak mempergiat pemantauan terhadap dua projek perumahan bermasalah di Bintulu, iaitu Golden Hill Villa 2 dan Treetops, bagi memastikan kebajikan serta hak pembeli rumah terus terpelihara.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee berkata, usaha pemulihan kedua-dua projek berkenaan kini berada pada landasan lebih positif hasil kerjasama antara kerajaan negeri, pemaju dan kontraktor penyelamat.
Menurut beliau, projek Golden Hill Villa 2 yang terletak di Lot 1713 mengalami kelewatan sejak 2014 berikutan masalah teknikal dan pertikaian sempadan tanah, sekali gus menjejaskan proses pengeluaran Permit Menduduki (OP).
“Kerajaan negeri menyokong pendekatan penyelesaian secara berperingkat yang dicadangkan oleh kontraktor penyelamat, Anna Synergy Berhad, bagi mempercepatkan penyiapan projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan tapak bagi projek perumahan swasta bermasalah di Golden Hill Villa 2 di sini, petang tadi.
Michael menjelaskan, pelaksanaan projek Golden Hill Villa 2 akan dibahagikan kepada dua fasa, bermula dengan pembinaan unit yang tidak terlibat dalam pertikaian tanah, diikuti kawasan yang memerlukan penyelesaian undang-undang.
Katanya, langkah itu membolehkan sebahagian pembeli menerima kunci rumah lebih awal tanpa perlu menunggu keseluruhan projek disiapkan.
Sementara itu, projek Treetops yang dibangunkan oleh Twin Revenue Sdn Bhd turut menerima perhatian khusus selepas tertangguh sejak 2021 akibat faktor infrastruktur, pandemik COVID-19 serta kekangan tenaga kerja.
Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan utama telah disempurnakan dan kini memberi tumpuan kepada kerja dalaman termasuk pemasangan sistem elektrik, kemasan dinding serta kelengkapan asas.
“Kerajaan negeri akan terus memastikan pihak pemaju mematuhi pelan pemulihan yang telah dipersetujui dan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan sekiranya berlaku kegagalan mematuhi garis masa yang ditetapkan.
“Kita tidak mahu pembeli terus menanggung beban akibat kelewatan.
“Setiap projek mesti mempunyai pelan kerja yang jelas dan boleh dilaksanakan,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian secara konsisten mengadakan sesi pemantauan, perbincangan teknikal serta penilaian permit bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.
“Kita menjangkakan kedua-dua projek ini dapat disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun sekiranya semua pihak mematuhi komitmen yang telah dipersetujui,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak komited untuk terus mempertahankan hak pembeli melalui saluran perundangan dan pentadbiran yang sewajarnya.
Oleh Carolyne Utih