
KRIAN: Dua projek jalan kebun di bawah inisiatif Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian telah menerima perhatian apabila pemeriksaan tapak dilaksanakan hari ini.
Pemeriksaan dua tapak projek tersebut telah dihadiri oleh wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok dan pihak kontraktor.
Projek yang diperiksa melibatkan Jalan Kebun Sungai Kelait, Kabo sepanjang hampir 1 kilometer bernilai RM170,000 dan Jalan Kebun Sungai Kara, Budu sepanjang 500 meter dengan kos RM75,000.
Kedua-duanya adalah kerja naik taraf daripada jalan tanah kepada jalan berbatu yang lebih kukuh, selamat dan mesra pengguna.
Beliau berkata, pemeriksaan ini penting bagi memastikan kualiti projek menepati spesifikasi dan dapat memberi manfaat optimum kepada pekebun.
“Projek ini adalah sebahagian daripada fasa dua jalan kebun BDDA yang merangkumi 31 projek keseluruhan, sama ada yang sedang dilaksanakan atau akan dimulakan di seluruh DUN Krian.
“Usaha ini diharap dapat mempertingkat kemudahan infrastruktur pertanian sekali gus membantu pengangkutan hasil dengan lebih pantas,” jelasnya.
Tambah beliau, penduduk setempat dijangka menerima kesan positif daripada projek ini terutamanya dalam memudahkan akses ke kawasan pertanian serta meningkatkan produktiviti hasil kebun.
Oleh Adi Safarman