HENRY B SIYU
MUKAH: Sebuah pasar raya utama di Bandar Mukah dan sebuah premis peniagaan di Pekan Dalat dikenakan kompaun kerana gagal mempamerkan tanda harga.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Mukah, Salihin Den, berkata kedua-dua kes tersebut adalah hasil aduan orang awam.
“Bertindak di atas aduan tersebut, pada minggu lepas sepasukan anggota penguatkuasa KPDNHEP Mukah membuat pemeriksaan kepada kedua-dua premis berkenaan,” katanya.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis itu gagal mempamerkan tanda harga,” ujarnya.
“Tindakan kes diambil di bawah Peraturan 3(1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit)1993, Akta Kawalan Harga Antipencatuta (AKHAP) 2011 iaitu gagal mempamerkan tag, label dan tanda harga pada barangan jualan bagi tujuan perdagangan,” tambanya ketika sidang media yang diadakan di Pejabat KPDNHEP Cawangan Mukah.
“Premis yang di Dalat itu dikenakan kompaun RM1,000 dan pasar raya tersebut dikenakan kompaun berjumlah RM2,000.
“Jumlah memang tiak besar, namun ia adalah menunjukkan bahawa kita serius dan tidak mahu berkompromi dengan prihal tersebut,” kata dia lagi.
Suspek juga boleh didakwa di bawah Peraturan dan AKHAP dan jika individu dan disabitkan kesalahan boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, manakala, syarikat atau Perubuhan Perbadanan boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaoun sehingga RM250,000.
Salihin juga menyatakan sehingga 27 April lalu, KPDNHEP Mukah menjalankan pemeriksaan ke atas sebanyak 1320 perniagaan meliputi bandar dan luar bandar.
“Justeru, kita (KPDNHEP) menghasilkan 42 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM55,753 dan jumlah kompaun sebanyak RM19,650. “Pihak kami serius menjaga kepentingan pengguna terutamanya pada ketika negara dilanda Covid 19 ini.
“Kita tidak mahu mana-mana pihak mengambil kesempatan ke atas pengguna di dalam mana-mana situasi terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” tegasnya.
Salihin juga menyatakan sepanjang tempoh PKP ini, bilik gerakan Pejabat KPDNHEP Mukah dibuka dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari dan boleh dihubungi untuk menyalurkan apa-apa aduan ke talian 084-872726.
“Sebarang aduan boleh disalurkan melalui ta- lian hotline 1-800-886-800 atau Portal e-aduan kpdnhep di http://e-aduan.kpdnhep. gov.my atau Enforcement Command Center (EEC): 03-88826245/6088 di talian Whatsapp 019-2794317 atau hadir sendiri di pejabat Kementerian supaya tindakan sewajarnya boleh diambil,” ujarnya.
Dalam pada itu, Salihin turut menyampaikan sumbangan sempena dengan sambutan ulang tahun ke-48 Hari Penguatkuasa kepada kedua pembantu tadbir di pejabat mereka, Awang Muhd. Naib Awang Ja’afari dan Norlida Mahdar.