
KAPIT: Mahkamah Majistret di sini hari ini telah menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM1,000 atau penjara satu bulan terhadap dua pemilik premis kerana melakukan kesalahan atas Penjualan Rokok Dibawah Harga Minimum dan Penjualan Rokok Terhadap Orang Belum Dewasa (OBD), Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) pada Ogos lalu.
Kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman itu setelah mengaku bersalah di hadapan Majistret Romario Jonoi sebaik saja pertuduhan dibacakan.
Tertuduh pertama, seorang wanita berusia 35 tahun, didakwa di bawah Seksyen 14(4) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (AKTA 852), manakala tertuduh kedua, seorang lelaki berusia 44 tahun didakwa di bawah Seksyen 13(1), akta yang sama.
Kedua-dua kesalahan ini memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Mengikut fakta kes, Pasukan Penguatkuasaan Pejabat Kesihatan Bahagian Kapit telah melakuan Operasi Selamat PaPa 2025: Paru-Paru Sihat, Generasi Terlindung di sekitar kawasan Pekan Kapit.
Dalam operasi itu, tertuduh telah diberikan notis kesalahan di bawah Seksyen 47 Akta 852 iaitu Notis Memerintahkan Kehadiran ke Mahkamah.
Semasa prosiding kes, Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Bahagian Kapit Harisfazillah Mohamad memaklumkan adalah menjadi tanggungjawab kepada semua pemilik premis untuk mematuhi dan melaksanakan segala keperluan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam atau dikenali sebagai Akta 852.
Sehubungan dengan itu, Harisfazillah memohon agar hukuman yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Pihak pendakwaan juga memberi hujahan bahawa walaupun tertuduh telah mengaku atas kesalahan yang dilakukan, terdapat beberapa faktor yang perlu diberi penekanan iaitu kesalahan dilakukan secara terbuka dan jelas bagi tujuan penjualan kepada orang awam termasuk golongan remaja dan pelajar sekolah.
Pejabat Kesihatan Bahagian Kapit melalui kenyataaan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan mengambil tindakan yang tegas kepada mana-mana individu atau pemilik premis di luar sana terutamanya di Bahagian Kapit (Kapit, Song dan Bukit Mabong) yang melakukan kesalahan di bawah Akta ini.
Oleh Akun Giman