
KUCHING: Banjir kilat dilaporkan berlaku di Kampung Sinar Budi, Lorong 5I, Taman Desa Wira, Batu Kawa, pada awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.08 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang digerakkan ke lokasi kejadian.

Anggota bomba tiba di tempat kejadian pada 5.19 pagi selepas menempuh jarak kira-kira lapan kilometer.
Komander Operasi, Wan Zakaria Wan Mos berkata, pemeriksaan awal mendapati seorang lelaki warga emas masih terperangkap di dalam kawasan banjir dengan paras air mencecah paras lutut.

Foto Bomba
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) telah bersiap sedia untuk melaksanakan kerja pemindahan, namun mangsa memaklumkan beliau belum bersedia untuk berpindah buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pihak bomba telah memberikan khidmat nasihat serta nombor telefon kecemasan kepada mangsa dan menasihatkan agar segera menghubungi talian tersebut sekiranya keadaan bertambah buruk.

Tambah beliau, pihak bomba kini masih menjalankan pemantauan di kawasan yang masih ditenggelami air dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan penduduk terjejas sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.
Oleh Norman B
