
PARIS: Dua peserta yang bertanding merebut mahkota Ratu Cantik Perancis pada hujung minggu lalu telah disingkirkan daripada organisasi itu selepas muncul satu video yang menunjukkan mereka menghina ratu cantik lain, menurut penganjur semalam.
Miss Provence dan Miss Aquitaine, yang mewakili kawasan di selatan dan barat daya Perancis, ditarik balik gelarannya oleh jawatankuasa wilayah masing-masing selepas mereka dirakam memanggil pencabar lain dalam pertandingan nasional itu sebagai ‘betina gemuk’.
Video yang dirakam oleh Miss Aquitaine, Ainhoa Lahitete, di belakang pentas acara yang disiarkan semalam dimuat naik ke dalam talian pada Ahad, sekali gus mencalarkan imej organisasi yang selama ini menekankan semangat persaudaraan antara peserta.
Dalam video berkenaan, Lahitete dilihat bercakap menerusi telefonnya sambil mengkritik pemilihan 12 peserta separuh akhir sebelum Miss Provence, Julie Zitouni, mencelah dan mengulangi hinaan sama.
Lahitete kemudian menambah: “Bukan semua, tetapi ramai.”
“Kenyataan menghina dan tingkah laku seperti ini sama sekali bercanggah dengan nilai yang cuba ditegakkan oleh jawatankuasa kami,” kata jawatankuasa wilayah Provence dan Aquitaine dalam kenyataan bersama.
“Peranan seorang ratu cantik wilayah adalah menjadi duta kepada kawasan mereka, figura yang berwibawa, beradab dan bertanggungjawab,” tambah kenyataan itu, sambil memaklumkan bahawa keputusan tersebut turut mendapat sokongan organisasi Ratu Cantik Perancis.
“Kami ingin menekankan bahawa Julie dan Ainhoa telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada para peserta terlibat, dan kami mengakui perkara itu,” kata Lydia Podossenoff dan Eric Laurens, perwakilan wilayah Provence Côte d’Azur dan Aquitaine.
Jawatankuasa itu turut mengecam keras “gelombang keganasan siber dan gangguan” yang diterima kedua-dua wanita tersebut sejak video itu tersebar.
Lahitete dalam satu hantaran di Instagram menjelaskan bahawa videonya sepatutnya kekal peribadi namun dia “telah menyetujui kata-kata yang tidak boleh diterima oleh ratu cantik lain.”
Zitouni pula menyatakan bahawa ucapannya adalah “tidak bijak dan sama sekali tidak mencerminkan pandangannya terhadap peserta lain,” sambil menambah bahawa kata-kata itu digunakan sebagai slanga dan bukan bertujuan menghina.
Hinaan yang digunakannya ‘grosses putes’ diterjemahkan secara literal sebagai pelacur besar/gemuk. Miss Tahiti, Hinaupoko Deveze, 23, dinobatkan sebagai Ratu Cantik Perancis 2026 pada Sabtu malam, mengatasi 30 peserta lain.
Sementara itu, di tempat lain di Perancis, Wanita Pertama Brigitte Macron turut berdepan kritikan pada Isnin selepas satu video peribadi menunjukkan beliau memanggil aktivis feminis yang mengganggu sebuah pementasan teater di Paris sebagai ‘betina bodoh.’ – AFP