
NEW DELHI: Dua pesawat dilaporkan bergesel di Lapangan Terbang Mumbai, India pada Selasa, namun semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Insiden itu berlaku ketika pesawat Air India penerbangan AI2732 sedang bergerak di landasan untuk berlepas, manakala sebuah pesawat IndiGo sedang bergerak selepas mendarat, menurut Direktorat Am Penerbangan Awam India dalam satu kenyataan.
“Semasa bergerak di landasan, hujung sayap kanan kedua-dua pesawat telah bersentuhan antara satu sama lain,” menurut kenyataan itu.
Media tempatan melaporkan insiden berkenaan berlaku kira-kira 7.30 malam dan semua penumpang turun dari pesawat dengan selamat.
Pesawat Air India itu dalam penerbangan ke Coimbatore, manakala pesawat IndiGo penerbangan 6E791 baru tiba dari Hyderabad.
Kedua-dua pesawat jenis Airbus A320 kini sedang menjalani pemeriksaan. – Bernama