PADAWAN: Seorang penunggang motosikal berusia 35 tahun maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Batu 9 1/2, Jalan Matang, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Barry William berkata, kemalangan berlaku kira-kira 10.30 malam tadi membabitkan motosikal Kawasaki BR250 yang ditunggang mangsa dan Yamaha NVX ditunggang seorang lelaki berusia 23 tahun.
“Siasatan awal mendapati penunggang Kawasaki yang dalam perjalanan dari Batu 10 menuju Batu 8, Jalan Matang, telah memasuki lorong bertentangan ketika melalui selekoh ringan sebelum bertembung dengan motosikal Yamaha yang datang dari arah bertentangan.
“Penunggang berusia 35 tahun itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak,” katanya.


KEADAAN dua motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Batu 9 1/2, Jalan Matang, Padawan yang mengorbankan seorang penunggang malam tadi.
Barry berkata, penunggang Yamaha berusia 23 tahun pula mengalami kecederaan pada bahagian abdomen dan dibawa ke Zon Kuning hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Kedua-dua motosikal terbabit telah disita dan dibawa ke Bahagian Trafik Padawan untuk siasatan lanjut.
Oleh Connie Chieng





