
SIBU: Mahkamah Majistret Sibu hari ini menjatuhkan hukuman denda terhadap dua pemilik kedai runcit selepas masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan menjual produk tembakau yang tidak mematuhi peruntukan pembungkusan dan pelabelan amaran kesihatan mandatori.
Pertuduhan difailkan di bawah Seksyen 15(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang dibaca bersama Peraturan 4(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pembungkusan dan Pelabelan) 2024.
Kes disiasat oleh Pegawai Penyiasat, Jesper Ronaldo Lucas dari Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu.
Dalam prosiding di hadapan Majistret Romario Jonoi, kes pertama melibatkan seorang lelaki pemilik kedai runcit (bukan perbadanan) yang diwakili oleh peguam Mr. Wong Jun Gui dari firma Kadir Wong Lin & Co. Advocates & Solicitors.
Tertuduh disabitkan kesalahan dan dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar.
Manakala bagi kes kedua, seorang wanita yang merupakan wakil pemilik kedai runcit (bukan perbadanan) turut mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda RM3,000, yang mana waran levi akan dikeluarkan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Kedua-dua tertuduh dilaporkan telah menjelaskan bayaran denda masing-masing.
Pendakwaan yang dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Unit Inspektorat dan Perundangan Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu, Andy Yet Yew Huat, menekankan bahawa hukuman yang setimpal adalah perlu demi kepentingan kesihatan awam.
Pihak pendakwaan berhujah bahawa tindakan menjual rokok tanpa amaran kesihatan yang sah menunjukkan keutamaan terhadap keuntungan komersial berbanding tanggungjawab undang-undang untuk melindungi masyarakat daripada risiko merokok.
Sebarang bentuk ketidakpatuhan, sama ada melibatkan jumlah rampasan yang kecil mahupun besar, tetap mencerminkan pengabaian terhadap mekanisme kawalan yang direka untuk memaklumkan risiko maut kepada pengguna, terutamanya golongan belia.
Hukuman pencegahan ini bertujuan untuk memberi pengajaran khusus kepada tertuduh serta amaran umum kepada semua pengendali perniagaan agar tidak memandang ringan peraturan kawalan produk merokok.
Mahkamah diingatkan bahawa kepentingan masyarakat harus mengatasi kepentingan peribadi pesalah, memandangkan peruntukan pelabelan amaran kesihatan adalah alat kritikal kerajaan dalam mengurangkan prevalens merokok di negara ini.
Dengan sabitan ini, pihak berkuasa berharap keyakinan awam terhadap kedaulatan undang-undang kesihatan terus terpelihara.
Oleh Akun Giman