
MEXICO CITY: Pihak berkuasa di Negeri Mexico pada Isnin mengesahkan bahawa mayat dua pemuzik Colombia ditemukan di sebuah kawasan lapang di Tlalnepantla, pinggir bandaraya Mexico City, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Sanchez Salazar, yang dikenali sebagai B-King dan DJ Herrera, lebih dikenali sebagai Regio Clown, dilaporkan hilang sejak 16 Sept selepas pergi ke sebuah gimnasium di Polanco, kawasan terkenal di Mexico City.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa mayat yang ditemukan pada 17 September di kawasan lapang itu adalah dua pemuzik berkenaan selepas ahli keluarga mengesahkan identiti mereka.
Menurut penyiasat, mayat berkenaan menunjukkan kesan kekerasan.
Pihak berkuasa telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu.
Kehilangan kedua-dua pemuzik itu mendapat perhatian antarabangsa apabila Presiden Colombia Gustavo Petro menggunakan media sosial untuk meminta kerajaan Mexico membantu mengesan warganya yang hilang.
Petro turut meratapi kematian Sanchez dan Herrera, sambil menyalahkan kegagalan dasar keselamatan di rantau itu sebagai punca tragedi berkenaan.- Bernama-Anadolu