
SIBU: Mahkamah Majistret Sibu semalam menjatuhkan hukuman denda terhadap dua orang wanita pemilik kedai runcit selepas masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan menjual produk tembakau yang tidak mematuhi peraturan pembungkusan dan pelabelan amaran kesihatan.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 15(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dibaca bersama Peraturan 4(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pembungkusan dan Pelabelan) 2024.
Kes ini telah disiasat oleh Pegawai Penyiasat PPKP Nurhana Johari dan PPKP Jesper Ronaldo Lukas dari Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu.
Dalam prosiding di hadapan Majistret Oon Kork Chen, kes pertama melibatkan seorang pemilik kedai runcit berstatus pertubuhan perbadanan (Sdn Bhd) yang disabitkan kesalahan dan dikenakan denda sebanyak RM20,000 atau penjara lapan bulan jika gagal bayar.
Bagi kes kedua pula, seorang wanita yang merupakan wakil pemilik kedai runcit bukan perbadanan dijatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam dilaporkan telah menjelaskan bayaran denda masing-masing.
Fakta kes mendedahkan bahawa pelanggaran ini dikesan dalam operasi penguatkuasaan oleh pegawai berkuasa dari Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu.
Pihak berkuasa telah menyita sebanyak 186 paket dan 215 paket rokok pelbagai jenama masing-masing dari kedua-dua premis yang gagal mematuhi standard pelabelan amaran kesihatan yang ditetapkan.
Jumlah rampasan yang besar ini membuktikan wujudnya corak ketidakpatuhan yang sistematik oleh peniaga demi mengaut keuntungan komersial semata-mata.
Pegawai Pendakwa dari Unit Inspektorat dan Perundangan Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu serta Pasukan Teras Pendakwaan Sarawak, Maswel Lenard Thomas, Khoo Ai Yuan, dan Andy Yet Yew Huat, dalam hujahannya menegaskan bahawa hukuman ini mencerminkan keseriusan kesalahan terhadap kepentingan awam.
Pihak pendakwaan menekankan bahawa amaran kesihatan pada bungkusan adalah mekanisme kritikal untuk melindungi masyarakat, terutamanya golongan muda, daripada risiko merokok.
Hukuman ini juga bertujuan memberi pengajaran khusus kepada tertuduh serta amaran umum kepada peniaga lain agar tidak mengabaikan undang-undang kesihatan demi kepentingan perniagaan.
Oleh Akun Giman