
SIBU: Mahkamah Majistret semalam, menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM5,500 terhadap dua pemandu lori yang memandu lori dengan muatan cerucuk kontret (concrete piles) melebihi had dibenarkan pada November tahun lepas.
Majistret Onn Kerk Chern menjatuhkan hukuman tersebut selepas kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Terdahulu, Kelana Lom,44 tahun dari Kampung Sungai Ud, Dalat dan Dominic Tinggom Imin, 55 tahun dari Rh Pungga, Sungai Poi, Kanowit memohon mahkamah meringankan hukuman kerana pendapatan tidak tinggi dan perlu menyara keluarga di kampung.
Kedua-dua pemandu kemudian membayar denda yang dikenakan ke atas mereka.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua pemandu didapati melakukan kesalahan tersebut selepas kenderaan jenis lori kargo am yang mereka pandu ditimbang di Stesen Penguatkuasa JPJ Stapang pada 19 November masing-masing 12.55 petang dan 1.10 petang.
Semasa timbangan menunjukkan lori dipandu Kelana membawa muatan sebanyak 23,900 kilogram dengan lebihan muatan seberat 7,900 kilogram atau 49.38 peratus daripada Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan pada Lesen Pembawa iaitu 16,000 kilogram.
Manakala lori dipandu Dominic Tinggom pula merekodkan muatan sebanyak 36,480 kilogram dengan lebihan muatan seberat 10,480 kilogram atau 40.31 peratus daripada Berat Dengan Muatan (BDM) dibenarkan pada Lesen Pembawa iaitu 26,000 kilogram.
Berikutan itu kedua-dua tertuduh telah melanggar syarat-syarat Lesen Pembawa di bawah Seksyen 19(1)(b)(vi) Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (ALPKP) 1987 dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 19(3) ALPKP 1987 serta boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.
Pegawai Pendakwa JPJ Sibu, Penolong Pegawai Penguatkuasa Muhammad Adib Ismail dalam hujahannya memohon suatu hukuman denda yang berat dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh kerana ia merupakan satu kesalahan yang lazim dilakukan dan dilaporkan media massa.
Menurutnya, kenderaan yang membawa lebih muatan biasanya akan mengalami kegagalan fungsi brek dan fungsi teknikal serta pada masa mengakibatkan kerosakan jalan raya yang kemudian menjadi faktor penyumbang kepada kemalangan jalan raya dan seterusnya membahayakan keselamatan pengguna-pengguna jalan raya yang lain.
Katanya, kerosakan jalan raya akibat perbuatan membawa muatan melebihi had dibenarkan telah menyebabkan kerajaan terpaksa memperuntukan perbelanjaan besar bagi membaiki jalan-jalan yang rosak.
Oleh Akun Giman