
KOTA SAMARAHAN: Dua lelaki tempatan ditahan selepas disahkan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan di Jalan La Promenade, awal pagi ini.
Operasi yang berlangsung dari 12.01 tengah malam hingga 3.00 pagi itu melibatkan seorang pegawai kanan polis bersama tujuh anggota trafik dan tujuh anggota daripada pelbagai cawangan.

Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 85 kenderaan dan 88 individu telah diperiksa.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan berkata, pemeriksaan menggunakan alat saringan awal alkohol jenis SD2+ telah dijalankan terhadap dua individu sebelum kedua-duanya disahkan positif memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Kedua-dua suspek merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 30an dan 50an.

“Alat SD2+ merupakan peranti saringan awal yang digunakan bagi mengesan kehadiran alkohol dalam badan pemandu secara pantas sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda tidak kurang RM10,000 serta tidak melebihi RM30,000, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun.
Dalam operasi sama, sebanyak 29 saman PDRM (K) 257 turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin serta mengurangkan risiko kemalangan akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
Oleh Shahrul Qaizat