Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Dua pelajar Malaysia sertai program Musim Panas CERN di Switzerland
  • INSPIRASI

Dua pelajar Malaysia sertai program Musim Panas CERN di Switzerland

Utusan Sarawak 18 hours ago
FELICIA Houng Teen Teen (kiri) dan Muhammad Aiman Zulkipli (kanan). Foto Akademi Sains Malaysia (ASM).

KUALA LUMPUR: Dua pelajar Malaysia Felicia Houng Teen Teen, 28, dan Muhammad Aiman Zulkipli, 21, menyertai 150 saintis muda dari seluruh dunia dalam Program Pelajar Musim Panas CERN (CSSP) yang berlangsung di Geneva, Switzerland dari Jun hingga Ogos tahun ini.

Program anjuran Pertubuhan Penyelidikan Kajian Nuklear Eropah (CERN) itu memberikan peluang kepada peserta terpilih untuk terlibat secara langsung dalam penyelidikan fizik zarah bersama pasukan penyelidik terkemuka dunia.

Houng, penuntut Sarjana Sains (Sains Nuklear) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata peluang keemasan ini akan dimanfaatkan untuk memperkasakan penyelidikan nuklear di Malaysia.

“Berada di CERN dan bekerja bersama minda paling cemerlang di dunia merupakan satu pengalaman luar biasa. Sebagai pelajar fizik, ini adalah tempat paling menginspirasikan. Saya berharap program seperti ini menyuntik semangat kepada generasi muda Malaysia untuk berani bermimpi dan cemerlang dalam bidang sains,” katanya dalam kenyataan. 

Muhammad Aiman, yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam Fizik Teoritikal di Lancaster University, United Kingdom, berkata beliau tidak menyangka impian untuk menyertai program itu akhirnya menjadi kenyataan.

“Mewakili Malaysia dalam CSSP ialah satu penghormatan luar biasa. Beberapa tahun lepas, peluang ini terasa seperti mimpi yang sukar dicapai. Di sini, saya bukan sahaja dapat bekerja bersama pakar dari seluruh dunia, tetapi juga memahami teknologi dan eksperimen terkini dalam fizik zarah,” katanya.

Sejak 2012, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) menjadi badan pencalon rasmi bagi pelajar Malaysia ke CSSP. Hingga kini, sebanyak 27 pelajar termasuk dua peserta tahun ini telah mewakili negara dalam program berkenaan.

Menurut MOSTI, program itu memberikan peluang kepada saintis muda Malaysia merasai sendiri pengalaman penyelidikan bertaraf dunia serta mengaplikasikan ilmu teori yang dipelajari di universiti dalam suasana penyelidikan sebenar.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata penyertaan dua pelajar itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh diplomasi sains serta pembangunan modal insan negara.

“MOSTI komited menyediakan lebih banyak platform antarabangsa kepada saintis muda Malaysia untuk membina jaringan global dan menyumbang kepada inovasi bertaraf dunia.

“Penyertaan mereka selari dengan teras MADANI Daya Cipta yang menyumbang kepada pembaharuan dan pengupayaan modal insan demi menjana daya cipta mampan untuk kebaikan sejagat,” katanya.

Menurut laman web rasmi CSSP, program itu menawarkan peluang kepada pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang fizik, kejuruteraan, pengkomputeran dan matematik untuk menyertai tugasan penyelidikan bersama pasukan penyelidik CERN.

Selain terlibat secara langsung dalam penyelidikan harian, peserta juga menghadiri siri kuliah oleh pakar fizik teori dan eksperimental dari seluruh dunia, serta berpeluang melawat kemudahan pemecut zarah dan menghadiri sesi perbincangan, bengkel serta pembentangan hasil penyelidikan dalam bentuk poster.

-Bernama

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Niat seorang ibu di sebalik kemenangan untuk hadiahkan basikal buat anak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.